Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya ada beberapa soalan. 1. Yang pertama, saya baru sahaja mengetahui tentang kewajipan untuk membaca alfatihah ketika menjadi makmum. Selama ini saya solat bersama imam, tapi akan terus rukuk bersama imam walaupun saya belum habis membaca surah alfatihah. Adakah saya perlu qadha kesemua solat saya selama ini. 2. Soalan kedua: selepas saya tahu tentang kewajipan membaca alfatihah, saya berusaha untuk membacanya tetapi sering kali tidak habis membacanya kerana kebiasaan selama ini, saya akan terus rukuk bersama imam kerana terlupa.. 3. Soalan ketiga: sekiranya saya perlu qadha semua solat tersebut, bagaimana solusi terbaik untuk qadha solat dalam jumlah yang banyak.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan tuan, membaca surah al-fatihah pada setiap rakaat merupakan rukun solat dan tidak sah solat jika tidak disempurnakannya. 'Ubadah bin Samit RA meriwayatkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
لَا صَلَاةَ لِمَن لَمْ يَقْرَأْ بفَاتِحَةِ الكِتَابِ
Maksudnya : "Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi makmum yang mempunyai masa secukupnya untuk menghabiskan bacaan surah al-fatihah sebelum imam rukuk (muwafiq) serta mengetahui kewajipan membacanya, maka wajib baginya untuk menyempurnakan bacaan al-fatihah. Jika bacaan al-fatihah ditinggalkan dalam keadaan ini, maka solat tidak sah dan wajib diqada'.
Adapun bagi makmum yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskan bacaan surah al-fatihah (masbuq), atau tidak mengetahui kewajipan membaca al-fatihah, maka bacaan imam akan menyempurnakan bacaannya dan solat sah.
Oleh itu, solat dengan meninggalkan surah al-fatihah sebelum mengetahui kewajipannya adalah sah dan tidak wajib diqada', manakala selepas mengetahui kewajipannya adalah tidak sah dan wajib diqada'.
Kaedah untuk qada' solat yang tidak sempurna tersebut adalah terpulang kepada kelapangan masa dan kesediaan tuan. Sebagai cadangan , bagi setiap kali solat fardhu yang didirikan, maka laksanakanlah satu solat fardhu yang wajib diqada' tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.