BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya dan suami pernah bertengkar kerana perempuan lain. Dimana si suami pernah berchating dan bermesej dengan perempuan lain untuk berkenalan ,  berbual mesra dan bergurau senda. Tetapi saya telah dapat tahu dan kami bergaduh besar kerana dari awal perkahwinan kami memang ok tetapi bila meningkat matang dan berumur si suami menjadi lebih (miang) boleh dikategeri kan pantang nampak dahi licin. Sudah berkali-kali saya mengatakan jangan berbuat demikian kerana anak semakin membesar dan akhirnya anak pun dapat hidu tentang kecurangan suami. Kerana anak ada mendengar perbualan antara suami dan perempuan lain itu. Terus saya diberitahunya. Kami gaduh besar lagi sehingga la si suami bersumpah tidak akan melakukan nya lagi didepan anak2 dan saya. Dan beliau memohon maaf yang benar2 nampak insaf.

Tetapi beberapa tahun berselang hingga agak lama kami tidak bergaduh tentang perempuan , tiba2 si suami buat lagi perkara lama dengan berchating dengan perempuan yang lain pula dan meminta gambar perempuan tersebut yang agak lucah bagi saya dan si suami pun ada mengeluarkan kata2 " buat servis ke " dan dia memang sukakan perkara itu saya tahu. Saya pun dapat tahu dari telefon bimbitnya dan kami bertengkar lagi. Kali ini anak tidak tahu. Akhirnya saya nekad ambil Al-Quran beri padanya dan menyuruh beliau bersumpah sambil pegang al-quran tersebut agar si suami tidak ulang perbuatan nya itu. Ini adalah kerana beliau sendiri yang mengatakan maaf dan tidak akan mengulanginya lagi tetapi saya lebih kenal si suami dan terus berkata saya tidak percaya. Itu la puncanya kami sama2 tekad ambil Al-Quran bagi suami menyakinkan saya yang beliau tidak akan melakukannya lagi dan dengan berkata " sumpah jika  beliau buat juga jatuh la talak ". Selang beberapa tahun berlalu namun janji2nya tidak ditepati di sini beliau memang buat lagi perangai lamanya itu masih berchating dan berbual mesra dengan mana-mana perempuan yang di langgan nya melalui Michat kerana setahu saya di dalam Michat boleh cari perempuan2 seksi dan berbogel pun ada untuk berbual mesra dan melakukan " servis ".  Sekarang bukan satu perempuan tapi ramai perempuan2 yang di layannya melalui chating. Saya dapat tahu ini pun sebab ternampak lagi dalam telefon bimbitnya. 

Jadi persoalan saya sekarang adakah jatuh talak ke atas saya iaitu isterinya dan sumpahnya itu dikira bagaimana? Minta pencerahan dari Ustaz. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam pertanyaan puan, ada dua isu yang diutarakan :

1. Persoalan berkaitan sumpah

Syarat Sumpah

Agar sumpah menjadi sah ia perlu terlebih dahulu menepati satu syarat, iaitu ia disumpah atas nama Allah, salah satu dari nama-nama Allah atau salah satu dari sifat-sifat Allah. Berikut diperincikan syarat ini:

a) Sumpah dengan nama Allah.

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”.

b) Sumpah dengan salah satu dari nama-nama Allah.

Boleh bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

c) Sumpah dengan salah satu sifat Allah.

Hukum orang yang melanggar sumpah

Orang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu, maka diwajibkan kaffarah sumpah iaitu :

  1. Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,
  2. Atau memberi pakaian untuk mereka,
  3. Atau memerdekakan seorang hamba.
  4. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan salah satu daripada tiga pilihan kaffarah di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.

2. Persoalan berkaitan lafaz talak

Lafaz suami seperti yang didakwa oleh puan " sumpah jika beliau buat juga jatuh la talak " adalah merupakan lafaz taklik dan secara asasnya jika suami bertaklik menceraikan isterinya, maka ianya boleh menyebabkan jatuh talak sekiranya dilanggar taklik tersebut. Ini berikutan lafaz tersebut adalah lafaz yang soreh atau jelas.

Walaubagaimanapun, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan perkara tersebut dalam kadar yang segera.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 249

message user image