BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang soal bengkokkan jari kaki (memerutkan jari kaki) dalam sujud. Adakah ia satu kewajiban? Dan jikalau ya, wajar Imam masjid mengingatkan para jemaah? Kerana sering saya ternampak jemaah tidak bengkokkan jari kaki ketika sujud. Saya sendiri serba salah untuk menegur, takut mungkin ilmu saya tak cukup. Patut tak imam mengingatkan sebelum solat, seperti mengingatkan rapatkan saf, memandangkan ini soal sah, tidak solat. Sejak ada dengar tentang soal bengkokkan jari kaki ni, Saya sendiri susah nak tumpukan perhatian dalam solat, sebab sibuk risau jemaah depan saya tak bengkokkan jari kaki ketika sujud. Harap ada penjelasan. Dan saya benar harap jika wajib para Imam dapat mengingatkan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib disempurnakan bagi memastikan sah solat. Sayyidina Ibnu 'Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda ;

أُمِرْتُ أنْ أسجُدَ على سبعةِ أعظُمٍ؛ على الجبهةِ - وأشارَ بيدِه إلى أنفِه - واليدينِ، والرُّكبتينِ، وأطرافِ القدَمينِ 

Maksudnya : Aku disuruh sujud di atas tujuh anggota iaitu dahi - Baginda SAW mengisyaratkan kepada hidung - kedua tangan , dua lutut dan dua kaki.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Anggota sujud adalah tujuh iaitu ;

  1. Dahi (disyaratkan tidak berlapik). Sunat meletakkan hidung di tempat sujud.
  2. Dua telapak tangan
  3. Dua lutut
  4. Dua kaki 

Disyaratkan ketika sujud , mesti meletakkan perut jari kaki (bahagian bawah) di atas lantai sehingga menghala ke kiblat. Jika seseorang hanya meletakkan hujung jari kaki atau bahagian belakangnya di atas lantai maka sujud tidak sempurna dan tidak sah solat dan sekurang-kurangnya satu jari mesti dilipat bagi kedua-dua kaki kanan dan kiri.  Adapun bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan atau keuzuran yang menghalang melakukan kaedah sujud di atas maka perkara tersebut dimaafkan.

Sikap prihatin tuan amat dihargai kerana mengambil berat ibadah saudara seislam. Namun janganlah ia menjadi sebab tuan tidak dapat khusyuk dalam solat kerana sibuk melihat ibadah orang lain. Sebagai cadangan, tuan dengan penuh hikmah boleh menegur sendiri kepada individu yang tidak menyempurnakan kaedah sujud atau memaklumkan kepada imam untuk memberi peringatan ringkas tentang kesalahan tersebut kepada para jama'ah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 937

message user image