Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya seorang yang suka was-was.
1) Pada satu hari, beberapa ekor anjing telah berkumpul dan melintas jalan raya, bukan dalam keadaan hujan. Kemudian kereta kami lalu dijalan raya tersebut selepas anjing melintas. Setelah itu kereta juga telah lalu dan ronda dikawasan jalan lain sebelum pulang ke rumah. Adakah perlu sertu tayar kereta? Bagaimana pula jika pakaian terkena tayar kereta tersebut?
2) Kami ke sebuah pasaraya. Dikawasan tersebut baru sahaja gerimis. Walaubagaimana pun tempat parking diluar pasaraya telah kering. Setelah kami keluar dari pasaraya, seekor anjing sedang melalui kawasan parking tersebut. Anjing itu tidak memasuki celah-celah parking tapi melalui kawasan belakang kereta-kereta yang diparking di situ. Anjing tersebut telah lalu dibelakang kereta kami. Tidak dapat dipastikan anjing basah atau kering. Ketika hendak ke kereta, saya pesan pada suami supaya hati-hati, mengelak dan melangkah tempat laluan anjing tersebut. Ketika hendak sampai ke kereta, suami melangkah laluan yang suami nampak anjing pijak. Saya juga mengikut langkahan suami. Walaubagaimana pun, saya was-was adakah saya betul-betul mengikut langkahan dan pijakan suami dikawasan tersebut. Suami nampak dimana anjing itu pijak, jadi suami pun langkah dan mengelak dari pijak tempat anjing lalu. Saya pulak tidak perasan anjing itu pijak dimana, saya cuma ikut langkahan suami, jadi saya tidak pasti sama ada tempat yang saya pijak setelah langkah, sama dengan suami atau tidak. Saya jadi was-was adakah saya telah terpijak tempat anjing pijak. Laluan anjing tidak ada kesan tapak kaki anjing itu. Selipar saya pula kemungkinan dari kawasan basah kerana saya telah pijak rumput sebelum itu. Adakah saya perlu sertu selipar saya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Oleh itu, bagi persoalan pertama yang puan timbulkan dalam situasi tersebut puan tidak perlu sertu tayar kereta tersebut dan pakaian yang terkena pada tayar tersebut juga tidak perlu disertu hanya sekadar dibersihkan sahaja melainkan jika terdapat salah satu daripada tiga iaitu bau, rasa dan warna.
Bagi persoalan kedua pula, tidak perlu disertu selipar yang dipakai oleh puan.
Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.