BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Semoga Allah merahmati kita semua. Saya ingin memohon nasihat untuk perkara berikut. Saya baru membeli sebuah apartment (SOHO unit) di Ampang. Selain daripada bayaran bulanan maintenance fee secara bulanan, saya baru diinvois oleh pihak pengurusan apartment dengan insurans konvensional tahunan yang saya difahamkan perlu dibayar oleh setiap unit apartment sebagai perlindungan daripada musibah seperti kebakaran.

Soalan saya, apakah hukum saya membayar insurans fee ini? Adakah hukumnya harus (kerana saya tidak diberi pilihan) ?

Jika sekiranya keadaan ini diharuskan, adakah pampasan (sekiranya berlaku apa2 musibah, na'uzubillah) juga diharuskan?

Mohon nasihat daripada pihak Jabatan Mufti.

Sekian.Terima kasih.

Wassalam

Mohd Fairuz Anuar, Subang Jaya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, caruman tersebut adalah caruman yang wajib dibayar disebabkan fungsinya membayar pampasan sesuai dengan nilai rumah sekiranya terjadi kebakaran terhadap aset bangunan tersebut. Tiada manfaat lain yang diberikan seperti pampasan diri, kecacatan dan lain-lain.

Namun, sebagai orang Islam tuan perlu dan wajib berusaha untuk melanggan takaful terlebih dahulu kerana ia adalah tuntutan syarak. Sekiranya setelah berusaha sehabis baik dan tiada pilihan lain melainkan perlu mengambil insurans tersebut melalui syarikat insurans yang telah ditetapkan. Maka, adalah harus untuk membayar insuran ini disebabkan tiada pilihan yang boleh dibuat oleh pihak tuan. Harus juga menerima sebarang pampasan atau manfaat daripada insurans tersebut jika berlaku sebarang musibah. 

Kesimpulannya, sekiranya pihak pengurusan bangunan memberi kelonggaran untuk melanggan takaful, itu adalah usaha yang digalakkan kerana yang halal lebih menyakinkan dan dapat menolak syubhah.

Nabi Muhammad SAW turut bersabda sebagaimana diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

والله اعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 153

message user image