BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. Saya seorang anak perempuan sulung daripada 5 orang adik beradik. Membesar dalam keadaan kurang didikan agama, membesar dalam keadaan orang tua yang selalu sibuk dan dalam keadaan orang tua yang selalu bertengkar. Ibu saya seorang yang panas baran dan suka mendoakan keburukan saya. Saya juga seorang yang kerap melawan apa yang ibu saya kata, ini kerana saya kurang suka dengan layanan ibu pada saya daripada adik beradik yang lain. Saya merasa seperti ibu saya meletakkan saya sebagai tempat melepas geram nya. Saya juga agak stress di rumah memegang tanggungjawab kebersihan di rumah, dan adik beradik yang lain agak kurang dalam kebersihan dan begitu juga ibu saya. Saya pernah berhasrat ingin lari dari rumah kerana saya penat dibuat sebegini. Dan saya pernah minta izin orang tua saya untuk bekerja dan duduk di luar, tapi mereka tidak mengizinkan. Ibu saya juga perli permintaan saya kerana saya tidak ingin mengemas rumah lagi. Sekarang saya merasakan kehidupan saya sangat teruk, dengan tiada pekerjaan tetap dan selalu stress berada di rumah, mengurus rumah dan selalu di marahi. Saya juga berpendapat kehidupan saya sekarang ini adalah kerana doa buruk daripada ibu saya, dan saya berpendapat saya perlu duduk berjauhan daripada ibu untuk mengelakan doa buruk daripada ibu saya. 

Adakah doa keburukan ibu kepada anak nya itu di makbulkan? Dan adakah perlu saya duduk berjauhan daripada orang tua saya..? 

Saya memang sangat perlu kan pendapat dan nasihat atas persoalan saya ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...

Merujuk kepada persoalan saudari, sesuatu perkara sama ada baik atau buruk tidak akan terjadi melainkan dengan keizinan daripada Allah SWT. Begitu juga jika ibu mendoakan keburukan pada anak, tidak akan makbul doa yang buruk-buruk kerana Allah sahajalah yang Maha Memakbulkan doa hambanya. Justeru, sentiasalah patuh dan taat perintah Allah dan jauhi laranganNya serta berbuat baiklah dengan ibu walaupun sikapnya sedemikian dan janganlah duduk berjauhan dengan orang tua kerana sebagai anak, adalah menjadi kewajipan untuk berbakti dengan mereka dan menyantuni mereka dengan baik. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 23 :

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” 

Disamping itu doakan ibu agar lembut hatinya dan tidak marah-marah, doakan juga adik-beradik yang lain agar rajin dan bekerjasama menjaga kebersihan. Jika rumah bersih, hati jadi lapang, dapat aura yang baik. Berusaha sedikit demi sedikit untuk ubah suasana dalam rumah dengan mendekatkan diri kepada agama, banyakkan membaca al-Quran. Tidak lagi melawan apa yang ibu kata, sebaiknya diamkan diri, baca selawat, berzikir dan bercakaplah perkataan yang baik-baik. Ambil peluang sempena bulan Ramadhan ini untuk berhijrah ke arah kebaikan dan istiqomah. 

Bagi mengelakkan diri daripada perkara yang buruk bolehlah membaca doa ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin ‘Affan RA mengatakan, ‘Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barang siapa yang mengatakan,

 بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ 

“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab namaNya tidak ada sesuatu pun di bumi mahupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudharat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ada sesuatu pun yang memudharatkannya”.            (Riwayat Abu Daud)  

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 180

message user image