BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai zihar. Pada suatu hari, ketika itu suami ingin mengurut badan isteri (saya), suami menyuruh anak perempuan kami yang berumur 2 tahun untuk beralih ke tempat lain. Ketika itu anak perempuan kami sedang baring disofa yang saya ingin duduk. Suami kata begini "Tepi sikit. Rata kau nanti kalau mama duduk."

Saya pula berpura-pura merajuk, saja ingin bergurau, saya kata "Yela, nampak sangat mama berat (gemuk), sampai kalau mama duduk, boleh rata si anak." Saya seorang yang berbadan gempal dan berat badan berlebihan. Waktu suami kata begitu, saya sedang hamil 7 bulan. 

Selepas saya bergurau kata begitu, suami balas "Yela, punggung mama je dah sama saiz dengan anak". Maksudnya disini suami samakan saiz punggung saya yang besar dan lebar ini dengan saiz & tinggi badan anak perempuan kecil kami yang baru berumur 2 tahun lebih, sehingga jika saya terduduk ke atas badan anak, anak boleh jadi leper. Adakah kata-kata suami dikira zihar?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, zihar ialah perkataan seorang suami yang menyamakan isterinya dengan mana-mana perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya atau menyamakan mana-mana anggota isteri. Perempuan yang diharamkan berkahwin tersebut hendaklah yang diharamkan berkahwin buat selama-lamanya seperti ibu dan anak perempuan, beserta dengan niat zihar atau membawa makna zihar iaitu ingin mengharamkan hubungan suami isteri.

Oleh kerana suami tidak berniat untuk menziharkan puan dan persamaan yang dinyatakan oleh suami adalah berkaitan saiz punggung puan dengan keseluruhan badan anak secara umum sahaja, maka tidak jatuh hukum zihar ke atas puan. Ulama Syafi’iyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian haram dilihat, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayat al akhyar, 2/70)

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 145

message user image