Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak tanya apa hukumnya jika mak ayah saya tidak suka kucing tapi saya suka dan saya bela, dan saya saya ada risiko untuk menjadi anak derhaka sebab*peribadi*. Tapi saya sangat sayang kucing saya tapi mak ayah saya tak suka dan saya bela mereka di rumah mak ayah dan saya belajar di sekolah lagi dan tiada rumah sendiri. Adakah hukumnya berdosa kalau saya bela juga?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan :
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman”.
Namun, hukumnya boleh berubah menjadi haram sekiranya memelihara atau membela kucing dengan menyakiti dan berbuat zalim terhadap haiwan tersebut, seperti tidak menjaga keperluan makan, minum, tempat tinggal dan segala yang berkaitan dengan naluri haiwan. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam Neraka. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya. (Riwayat Al-Bukhari)
Di samping itu, sebagai seorang anak wajib mendengar, mentaati dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa selagi mana tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ibu bapa tidak membenarkan membela kucing ada sebab kerana dibimbangi akan berlaku kezaliman terhadap haiwan tersebut. Oleh itu, turutilah apa yang dikehendaki oleh mereka kerana besar pahalanya berbanding dengan membela kucing. Berusahalah mencari keredhaan Allah melalui keredhaan kedua ibubapa. Bahkan, restu dan redha ibu bapa dalam kehidupan seseorang itu sangat penting bagi mendapatkan keredaan Allah S.W.T. Daripada Abdullah bin 'Amru R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
رِضَى اللهُ فى رِضَى الوَالِدَيْنِ و سَخَطُ الله فى سَخَطِ الوَالِدَيْنِ
Maksudnya: “Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa dan murka Allah itu terletak pada murka kedua ibu bapa.” (Riwayat At-Tirmizi)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.