BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

SYAHADAH ULANGAN

 

Assalammualaikum w.b.t

 

1. Perlukah seseorang yang dilahirkan dalam keluarga islam dan menjalani syariah islam dalam kehidupan seseharian perlu untuk mengulangi syahadah? - Berdasarkan rukun islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah.

2. Adakah ia perlu dilafazkan di hadapan seseorang ulamak jika berkeperluan untuk dilakukan?

3. Adakah lafaz ulangan ini hukumnya sunat muakkad dan jika tidak melakukannya menjadikan seseorang itu mengingkari perintah Nabi s.a.w?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada persoalan tuan, seseorang yang dilahirkan oleh ibu bapa atau salah seorang daripadanya beragama Islam akan ikut menjadi Islam sejak dilahirkan. Oleh yang demikian, tidak diwajibkan kepada anak yang dilahirkan ini untuk mengulang mengucap dua kalimah syahadah samaada ketika usia kanak-kanak ataupun setelah mencapai umur baligh. 

Walaupun memperbaharui keimanan dan kesaksian terhadap Islam merupakan suatu perkara yang digalakkan, namun ia tidak disyaratkan dibuat di hadapan ulamak atau dihadapan mana-mana orang. Salah satu kaedah untuk memperbaharui iman adalah dengan memperbanyakkan zikir لا إله إلا اللهُ . Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ;

 جَدِّدُوا إيمانَكم ، أَكْثِرُوا من قولِ لا إله إلا اللهُ

Maksudnya : Perbaharuilah iman kamu dengan memperbanyakkan menyebut La Ilaha Illallah -tiada tuhan selain Allah-.

Kesimpulannya, tidak diwajibkan bagi orang yang telah lahir secara Islam untuk mengulangi syahadahnya. Adalah telah memadai dengan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan iman.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 198

message user image