BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, sy ingt bertanya mengenai pekerjaan sy. sy bekerja sbg content review utk company media sosial, dan policy utk company sy jika ada video berkenaan arak, sy perlu approve jika tdk melampau batas. adakah pekerjaan sy ini kategori haram, sepertimana yg disebutkan dlm Alquran berkenaan arak. mohon penjelasan ustaz. terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Pengharaman arak merupakan suatu perkara yang tiada perselisihan padanya dalam kalangan ulamak, pengharaman tersebut merangkumi perkara-perkara yang ada kaitan dengan arak sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَه

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu Arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk Arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan Arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis di atas dapatlah disimpulkan bahawa pengharaman arak merupakan suatu perkara yang berat dalam syariat sehingga Rasulullah melaknat 10 golongan yang terlibat dengannya.

Pekerjaan anda secara umum adalah halal namun terdapat perkara yang disebutkan menjadikan sumber pendapatan itu menjadi syubhah kerana adanya percampuran antara sesuatu yang halal dan sesuatu haram atau syubhah. Islam mengajar umatnya agar menjauhi perkara syubhah sebagaiman hadis yang diriwayatkan oleh Nukman Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya : “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang perkara syubhah maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Umat Islam tidak dibenarkan terlibat dengan apa-apa aktiviti yang melibatkan sebarang urusan yang berkaitan dengan arak, namun dalam keadaan tiada pilihan disebabkan bekerja dengan syarikat bukan Islam maka sebaiknya berbincanglah dengan pihak pengurusan untuk kerja-kerja tersebut dilaksanakan oleh pekerja bukan Islam. Jika tidak dapat dielak juga maka pendapatan tersebut termasuk dalam pendapatan yang bercampur antara kerja yang halal dan kerja yang syubhah dan ia perlu dibersihkan dengan mengeluarkan nilaian yang munasabah bagi kerja yang dilaksanakan dan disalurkan ke baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri-Negeri bagi tujuan pembersihan. Pembersihan ini adalah bagi memastikan tiada unsur-unsur syubhah di dalam hasil kerja yang telah dilakukan.

والله أعلم بالصواب

 

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 150

message user image