Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikom warahmatullahiwabarokatu
Saya ingin bertanyakan tentang soalan perbezaan hukum ASB financing dan ASB loan. Seperti yang dimaklumkan, hukum melabur didalam ASB adalah harus, akan tetapi, saya baru sahaja mendapat maklumat tentang perbezaan ASB financing dan ASB loan, dimana ASB financing adalah pinjaman yang mematuhi syariah manakala ASB loan dibawah konvensional.
Adakah haram hukumnya jika saya melabur dibawa ASB loan dibawah konvensional dan sekiranya saya sudah pun melabur didalam ASB loan selama 4 tahun, apakah yang patut saya buat kerana saya baru sahaja mengetahui tentang info ini. Perlukah saya menamatkan pelaburan tersebut dan adakah saya perlu menyucikan harta dengan membayar zakat ?
Terima kasih dan semoga Allah merahmati tuan/puan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan tuan, ASB Financing atau Pembiayaan ASB ialah pembiayaan yang ditawarkan oleh perbankan Islam kepada pelanggan yang berhasrat untuk membuat simpanan/ pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera, bagi memperolehi pulangan dalam simpanan / pelaburan yang dilakukan dalam suatu tempoh tertentu. Pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak patuh syariah antaranya ialah tawarruq.
Justeru, hukum melakukan pembiayaan ASB melalui perbankan Islam adalah harus sekalipun pelanggan membayar lebih daripada jumlah yang dibiayai.
Adapun ASB Loan atau Pinjaman ASB adalah pinjaman yang ditawarkan oleh perbankan konvensional kepada pelanggan untuk melanggan unit-unit Saham dalam ASB dengan kontrak pinjam-meminjam dengan disyaratkan pelanggan perlu membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam.
Justeru, hukum ASB Loan/ Pinjaman ASB ini adalah haram kerana kontraknya ialah pinjaman yang berteraskan riba dan hukum Riba Al-Qard adalah haram manakala keuntungan pelaburan ASB yang dibuat berdasarkan loan tersebut adalah halal.
Sekiranya tuan telah jelas perbezaan antara dua produk ini, maka tuan wajib memilih yang halal dan meninggalkan yang haram (riba) iaitu dengan menamatkan ASB Loan dan bertukar kepada ASB Financing. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 275;
ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِي يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡبَيۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ
Maksudnya : Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Tuan perlu bertaubat dari kesilapan lalu dan lebih berhati-hati di masa akan datang dalam memilih sesuatu produk termasuk akad berkaitan muamalat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.