BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya, kalau saya bersumpah atas nama Allah untuk tidak melakukan sesuatu seperti bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu dosa dan saya cakap ' kalau saya tak buat atau batal/langgar sumpah ni saya akan ditimpa bala/sakit etc etc".. Dan setiap kali sy bersumpah, mesti sy ada batalkan/langgar sebab saya xboleh mengawal diri dari melakukan dosa tersebut. Adakah ini dikira sumpah laknat? Adakah sumpah ini akan memakan diri saya?  Saya buat sumpah ini sebab saya betul-betul nak berhenti dari membuat dosa, tapi selalu sahaja saya tak mampu melaksanakannya.. Dan setiap kali ia terbatal bilamana saya melakukan dosa tersebut, sy akan mengulangi lagi sumpah tersebut..sebab bile saya mahu berubah, hanya dengan bersumpah saya mampu menahan diri saya agak lama dari melakukan dosa. Kalau x bersumpah mungkin saya akan melakukan dosa tu lagi kerap. Dan yang terbatal sumpah sebelum ini, saya belum laksanakan kaffarahnya.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, Allah SWT telah memerintahkan kita supaya tidak melakukan dosa dan mengikuti segala suruhanNya. Justeru, jika kita telah melakukan dosa, maka hendaklah bertaubat kepada Allah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Contohnya : bercakap tidak baik pada orang, hukumnya berdosa dan hendaklah bertaubat dan meminta maaf pada orang tersebut. Kita hendaklah bercakap yang baik-baik pada orang sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud:

“Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.”

Atau tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan sengaja. Hukumnya berdosa kerana itu adalah wajib. Justeru hendaklah bertaubat dan qada' puasa tersebut. 

Cara untuk mengelakkan dari melakukan dosa, saudara hendaklah bertegas pada diri sendiri dan menahan diri dari melakukan dosa yang dimaksudkan itu. Bukannya dengan bersumpah berkali-kali. Tetapi taubat boleh dibuat berkali-kali, sentiasa beristighfar juga merupakan taubat. Hadith yang diriwayatkan daripadaTsauban RA, katanya: "Biasanya apabila Rasulullah SAW telah selesai solat, beliau istighfar (mohon ampun) tiga kali. Sesudah itu beliau membaca: "Allahumma antas salam, wa minkas salam, tabarakta dzaljalali wal ikram."  (Riwayat Muslim).

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 216

message user image