BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam ramadhan, Pada tahun ini 1 ramadhan 1442 jatuh pada 13 april 2021 di Malaysia.Terdapat keraguan dalam hati saya mengenai ketulusan tarikh mula berpuasa yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia ini.HaI ini muncul atas faktor-faktor berikut :

•Mengapa tiada berita atau khabar dari balai cerap atau dari mufti-mufti di Malaysia mengenai penampakan anak bulan pada hari melihat anak bulan iaitu 12 April 2021?

•Jika anak bulan tidak kelihatan pada 12 April 2021 ,mengapa umat islam di Malaysia mula berpuasa pada keesokan harinya iaitu 13 April 2021 dan bukannya 14 April 2021? Atas faktor - faktor yang tersebut , amatlah saya harapkan tuan sudi menjawab dan menerangkan hal ini kepada saya jikalau ada perkara yang tidak saya ketahui kerana saya juga hanyalah rakyat biasa yang tidak tinggi ilmunya.

Sekian,

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليکم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terima kasih atas soalan yang diberikan.

Untuk makluman tuan, Penentuan awal bulan hijri di Malaysia mengguna pakai kaedah Rukyah dan Hisab, atau Imkanur-Rukyah (Kebolehnampakan Hilal) yang telah digunakan sejak tahun 1992 yang telah disepakat bersama dengan negara-negara MABIMS (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura).

Pakar-pakar dalam bidang berkaitan astronomi dan falak telah dilibatkan dalam meletakkan syarat dan kaedah yang terbaik bagi menentukan awal bulan hijri terutama bagi pengisytiharan awal  Ramadhan dan Syawwal. Kaedah ini dibentuk berpandukan tafsiran terhadap dalil-dali al-Quran, hadith Nabi dan pandangan para fuqaha'.

Pihak JAKIM selaku badan bertanggungjawab dalam menyelaras penentuan awal puasa dan hari raya di Malaysia telah menetapkan sebanyak 29 tapak cerapan untuk mencerap anak bulan dan membuat analisa data daripada dua titik data cerapan iaitu di Tanjung Atiam Sabah (timur) dan Tanjung Chincin, Pulau Langkawi ( Barat). Apabila hilal tidak kelihatan disebabkan terlindung oleh sebab cuaca pada hari berkenaan, hitungan ahli falak dalam mensabitkan wujudnya hilal di ufuk barat boleh diterima. 

Analisis data yang berpandukan kepada kriteria Imkanur-Rukyah adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat yang berikut:

(a) Ketika  matahari  terbenam,  ketinggian  anak  bulan di atas ufuk tidak  kurang daripada 2° dan jarak

     lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3°.

ATAU

(b) Ketika bulan  terbenam,  umur  anak  bulan  tidak  kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Berdasarkan data yang telah dianalisa bagi data 29 Sya'ban 1442H, hilal menepati syarat Imkanur-Rukyah, maka hasil cerapan dan analisis data tersebut telah dipersembahkan dan diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Maka, awal bulan Ramadhan 1442H telah diisyhtiharkan jatuh pada 13 April 2021 yang lalu. Tanggungjawab pemerintah dalam perkara ini adalah menentukan kaedah penentuan awal bulan yang sesuai, bertepatan dengan syarak dan tidak berlawanan dengan nilai saintifik. Kaedah fiqh menyatakan:

تصرف الإمام على رعيته منوط بالمصلحة

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.

 

sekian.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 170

message user image