Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Nama saya Helmy Firdaus. Saya ingin minta bantuan dan penjelasan mengenai ‘anak angkat’. Saya sudah berkahwin hampir 10 tahun namun belum dikurniakan zuriat. Saya bercadang untuk mengambil anak angkat perempuan. Cuma saya ingin minta bantuan apa taraf saya dengan anak angkat perempuan itu nanti. Isteri saya bercadang untuk menyusukan bayi perempuan tersebut dan bercadang untuk jadikan dia anak susuan. Persoalan saya 1. Apakah status bayi tersebut dengan saya nanti? 2. Adakah bayi perempuan tersebut akan jadi mahram saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, penyusuan yang menyebabkan anak susuan itu menjadi mahram dengan tuan adalah dengan memenuhi syarat berikut: 1. Anak yang disusukan itu belum mencapai usia dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah. 2. Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi. 3. Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan. Anak susuan yang memenuhi syarat tersebut adalah menjadi mahram muabbad (selama-lamanya) dengan suami kepada ibu susuannya. Boleh rujuk keputusan fatwa berkenaan perkara ini; http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/267-hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.