BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. saya ingin bertanya soalan tentang waktu berbuka puasa.Dalam hadis Rasulullah baginda bersabda bahawa waktu berbuka adalah pada terbenamnya matahari dan bukan pada waktu maghrib.Lalu saya menggunakan google untuk mengetahui waktu matahari terbenam dan mendapati waktunya adalah awal sedikit berbanding waktu maghrib .Soalannya bolehkah saya berbuka puasa pada waktu terbenam matahari mengikut carian di Google?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد Merujuk kepada persoalan, perlu untuk difahami bahawa waktu iftar atau berbuka hendaklah apabila terbenamnya matahari. Hal ini jelas seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: Jika malam menjelang daripada sini (arah timur) dan siang pergi daripada sini (arah barat), dan matahari terbenam, maka orang yang berpuasa hendaklah berbuka. (Riwayat al-Bukhari)

Manakala merujuk kepada waktu masuknya waktu solat Maghrib adalah apabila matahari terbenam di bawah ufuk barat. Justeru itu, waktu iftar atau berbuka puasa adalah sama dengan waktu solat Maghrib.

Di Negeri Selangor, pihak yang berautoriti mengeluarkan takwim waktu solat dan waktu berbuka puasa adalah Jabatan Mufti Negeri Selangor. Takwim waktu solat dan waktu berbuka puasa yang dkeluarkan adalah mengambil kira kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Waktu-waktu tersebut dihitung berasaskan kepada Konsep Zon Waktu Solat yang ditetapkan oleh negeri masing-masing.

Konsep Zon Waktu Solat telah diperkenalkan bertujuan bagi menyelaraskan pengiraan waktu solat di setiap negeri berdasarkan titik rujukan tertentu. Titik rujukan ini dipilih merujuk kepada kedudukan titik yang paling barat di dalam zon tersebut. Waktu solat dan waktu berbuka puasa akan disemak dan diperakui oleh Jawatankuasa Falak Negeri Selangor sebelum edaran dibuat.

Berbuka puasa dengan menggunakan kaedah matahari terbenam dari hasil carian Google amatlah diragui terhadap kaedah hitungan yang digunapakai. Berpandukan kepada takwim solat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri lebih meyakinkan dan terhindar daripada was-was.

والله أعلمُ ﺑﺎ ﻟﺼﻮﺍﺏ


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 145

message user image