BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

saya hendak bertanya tentang hadis di bawah, adakah hadis ini sahih dan kukuh untuk di bawa perbincangan? Dan bolehkah tolong jelaskan "ulama yang keluarkan fitnah". Terima kasih

DARIPADA Ali bin Abi Thalib RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sudah hampir tiba suatu zaman apabila tiada yang tinggal daripada Islam itu kecuali namanya sahaja dan tiada tinggal daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja. Masjid dibina indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah langit. Daripada merekalah keluarnya segala fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali." (Hadis Riwayat Baihaqi)

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan berkenaan hadis yang dinyatakan. Berikut adalah matan hadis dalam bahasa arab:-

يوشكُ أنْ يَأْتِيَ على الناسِ زمانٌ ، لا يَبْقَى منَ الإسلامِ إلَّا اسمُهُ ، ولا يبْقَى من القرآنِ إلَّا رسمُهُ ، مساجدُهم عامِرَةٌ ؛ وهيَ خرابٌ من الهُدَى ، علماؤُهم شرُّ مَنْ تحتَ أديمِ السماءِ ، من عندِهم تخرجُ الفتنةُ ، وفيهم تعودُ

Hadis di atas telah diriwayatkan oleh imam Baihaqi dalam kitabnya Syu'abul Iman. Jalur perawi hadis tersebut daripada Abdullah bin Dukkain, daripada Ja’afar bin Muhammad, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Ali bin Abi Talib RA.

Para ulama’ hadis telah menilai hadis di atas sebagai hadis dhaif(lemah) berdasarkan beberapa sebab antaranya:

  1. Perawi yang bernama Abdullah bin Dukkain. Kebanyakkan ulama’ hadis menyifatkan beliau seorang perawi yang lemah, tidak boleh dipercayai dan riwayatnya sering bersendirian.(lihat kitab Tahzibul Kamal (14/469))
  2. Jalur riwayat yang terputus. Ja’afar bin Muhammad bin Ali bin Husien bin Ali bin Abi Talib. Ja’afar meriwayatkan hadis ini daripada bapanya (Muhammad bin Ali), daripada datuknya (Ali bin Husein), akan tetapi Ali bin Husein tidak berjumpa dengan Ali bin Abi Talib RA. Dalam masa yang sama hadis ini dinilai sebagai hadis mursal (mengugurkan nama perawi(sahabat)).

Oleh sebab itu, Imam Baihaqi dalam kitabnya ada menyatakan hadis di atas adalah hadis منقطع (hadis yang terputus sanadnya). (lihat kitab Syu'abul Iman (3/319))

Adapun berkaitan dengan persoalan kedua tuan, tidak dinafikan perkara fitnah ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Namun, perlu diberi perhatian berkenaan dengan darjat para ulama. Dalam Islam kedudukan ulama adalah dipandang tinggi kerana mereka adalah golongan yang berilmu dan memahami agama dari sumbernya yang utama al-Quran dan hadis agar dapat difahami sebaiknya oleh ummat Islam. Keilmuan para ulama telah menjadikan mereka sangat takut kepada Allah SWT serta sentiasa memastikan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat selari dengan kehendak Allah dan Rasulnya dan bersikap tegas jika berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan syariat Islam. Sikap para ulama ini telah dijelaskan oleh Allah SWT berdasarkan surah Fatir ayat 28:

 إِنَّمَا یَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰۤؤُا۟ۗ 

Yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang paling bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah adalah dari kalangan hamba-hambanya hanyalah orang-orang yang berilmu”.

Maka dengan itu, hendaklah kita semua senantiasa merujuk kepada para ulama agar kehidupan kita dibimbing dan terpandu serta kefahaman kita dalam beragama tidak mudah diseleweng oleh mana-mana individu atau mana-mana pertubuhan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 194

message user image