BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Sepertimana yang kita semua sedia maklum. Negara kita masih lagi berjuang untuk menghapuskan wabak Covid-19 sehingga hari ini. Banyak urusan seharian dalam hidup kita juga perlu mengikuti norma baharu.

Terdapat 2 persoalan yang ingin saya kemukakan berkenaan perlaksanaan ibadah qurban dalam musim pandemik ini.

1. Persoalan pertama saya adalah, adakah dibolehkan daging qurban dimasak terlebih dahulu sehingga empuk dan dipek menggunakan proses “ Retort Pouch” tanpa sebarang perasa tambahan atau dimasak kepada masakan lain (Contoh: Kari, Rendang dll), sebelum daging tersebut diagihkan?

Daging diproses sebegini untuk memastikan daging dapat disimpan lebih lama memandangkan keadaan semasa yang menyebabkan proses pengagihan sukar untuk dilaksanakan seperti kebiasaan.

Adakah pengagihan daging qurban yang telah dimasak ini boleh membatalkan ibadah Qurban?

2. Soalan kedua pula adalah berkenaan tempoh pengagihan daging qurban. Adakah pengagihan daging qurban boleh dibuat dalam tempoh masa yang lebih panjang?

Hal ini disebabkan keadaan semasa pandemik menyukarkan untuk pengagihan dilakukan secara terus seperti kebiasaan.

Adakah pengagihan yang dibuat dalam tempoh yang lebih lama boleh membatalkan ibadah Qurban?

Saya juga merujuk kepada, Fatwa Majelis Ulama Indonesia, Nombor 37 Tahun 2019 tentang Pengawetan dan Pendistribusian Daging Kurban dalam Bentuk Olahan.

Terima kasih terlebih dahulu saya ucapkan kepada Dato’ Seri Mufti atas kesudian untuk menjawab persoalan saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته    

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد  

Merujuk kepada persoalan tuan, pengagihan daging korban sunat dibuat dalam keadaan daging yang masih mentah berbeza dengan daging aqiqah yang sunat dimasak terlebih dahulu. Namun jika daging korban dimasak sebelum diagihkan bagi tujuan memastikan ketahanan maka ia diharuskan.

Harus menyimpan daging korban dalam tempoh yang  munasabah jika menjadi keperluan untuk menyimpannya seperti proses agihan yang terbatas disebabkan penularan wabak. Namun pihak penganjur hendaklah memastikan daging tersebut disimpan ditempat yang baik dan selamat supaya tidak rosak dalam tempoh penyimpanan. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy'ari RA, Rasullah SAW bersabda;

........نَهَيْتُكُمْ عن زِيارَةِ القُبُورِ فَزُورُوها، ونَهَيْتُكُمْ عن لُحُومِ الأضاحِيِّ فَوْقَ ثَلاثٍ، فأمْسِكُوا ما بَدا لَكُمْ

Maksudnya " Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur maka sekarang ziarahilah ia, dahulu aku melarang kalian menyimpan daging korban melebihi tiga hari , maka sekarang simpanlah ia mengikut keperluan kamu...." 

(Riwayat Muslim)

Ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19, sekiranya pihak penganjur memiliki kelengkapan yang mencukupi untuk menyimpan daging korban, maka adalah disyorkan agar daging korban tersebut disimpan dengan baik dan diagih secara berperingkat kepada golongan penerima yang berhak secepat mungkin. Adapun jika pihak penganjur menghadapi kekangan kelengkapan dan tiada tempat yang sesuai, maka daging korban hendaklah segera diagihkan kepada penerimanya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 129

message user image