Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Pihak Mufti. Era teknologi kini semakin berkembang dan pertanyaan saya, jika kita membina robot yang mempunyai pelbagai kecekapan yang jauh lebih hebat dari manusia dan menyerupai ciptaan Allah.. Adakah dibenarkan?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal membina robot adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan :
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman”.
Agama Islam tidak menghalang sama sekali manusia untuk membangunkan teknologi, malah ia menjadi tuntutan fardhu kifayah. Ini kerana, dengan adanya kemajuan pembangunan teknologi dalam pelbagai bidang, ia dapat membantu manusia menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik dan sistematik.
Namun, ciptaan manusia (robot) tidak sehebat ciptaan Allah, khususnya nyawa yang manusia tidak mampu sediakan. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Isra' , ayat 85:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.