Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum bau kencing pada buku lama. Baru-baru ini saya mengeluarkan buku teks yang lama di simpan dalam stor. Kemudian saya mendapati ada kesan gigitan tikus pada hujung beberapa helai kertas muka depan. Apa bila saya menghidunya seperti ada bau hapak yang seakan-akan hancing tetapi tidaklah betul-betul jelas hancing nya. Ia menjadikan saya was-was. Saya tidak nampak seperti berpeta kesan kencing/tahi tikus/rasa kesat kencing yg sudah kering. Saya membasuh muka depan, akibatnya kertas dalam juga menjadi lembab dan mendapati bau hancing tadi muncul pula pada muka-muka seterusnya
Adakah saya patut menggantikan buku ini dgn yg baru? Salah satu artikel di website Mufti WP ada mengatakan dalam mazhab Hanafi kencing tikus tidak dianggap najis kerana sukar dielak. Bolehkah saya mengikut pendapat tersebut kerana was-was ini menjadi berat sehingga menggangu saya mentelaah untuk peperiksaan yang akan datang dua minggu lagi. Buku-buku perubatan juga rata-rata berkos tinggi melebihi RM100. Saya kira jika buku ini perlu dibuang seperti pembaziran pula yg tidak digalakkan dlm agama
Terima kasih kerana perhatian serta maklumbalas pihak tuan/puan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد Merujuk kepada persoalan tuan, Adapun daripada sudut hukum, kencing haiwan selain anjing dan khinzir dianggap sebagai najis mutawassitah jenis ini disucikan dengan dialirkan air mutlak ke atas kawasan yang terkena najis sehingga hilang bau, warna dan rasa. Kawasan yang wajib disucikan itu hanyalah kawasan yang diyakini terkena najis dengan mengetahuinya melalui ain atau sifat fizikalnya seperti warna kuning dan bau hancing. Adapun tempat yang tidak diyakini ditimpa najis maka tidak wajib untuk menyucikannya. Kaedah fiqh menyebut: الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ Maksudnya: “hukum berdasarkan keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak.” Berbalik kepada menyucikan buku, kebiasaannya penggunaan air yang mengalir akan mengakibatkan buku menjadi rosak. Oleh sebab itu, tidak wajib untuk menyucikannya, sebaliknya hendaklah dipastikan ianya tidak dibawa semasa solat. Berdasarkan mazhab jumhur ulama, air kencing yang kering di tanah sehingga hilang kesan-kesannya, seperti bau, warna dan rasa itu masih tidak suci sehinggalah dialirkan air. Namun, jika boleh dialirkan air tanpa merosakkan buku maka tiada masalah, sekiranya perbuatan tersebut tidak menyebabkan mudarat seperti jangkitan penyakit berjangkit. Ada beberapa perkara yang boleh diusahakan: 1. Kawasan yang diyakini ditimpa najis seperti kencing tikus sahaja yang wajib dibasuh. Sebaliknya, kawasan yang tidak terdapat kesan seperti bau, warna dan rasa kencing tikus atau najis tidak wajib dibasuh kerana kembali kepada hukum asal iaitu suci. 2. sekiranya membasuhnya akan menyebabkan buku itu rosak, maka boleh digunakan dengan syarat kering dengan kering. والله أعلم بالصواب |