Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Pada tahun 2017 - 2018 saya ada menyewa sebuah rumah di Negeri Sembilan dengan kadar sewa RM 330 sebulan.
Pada tahun 2019 saya dapat kerja di Shah Alam saya kemudian menyewa sebuah rumah lain di Shah Alam.
Selama beberapa bulan rumah di Negeri Sembilan ditinggalkan tanpa ada penghuni (sewa masih bayar seperti biasa).
Rumah di Negeri Sembilan kemudiannya saya menyewakan kepada pihak lain dengan kadar sewa RM 480 sebulan dengan niat untuk kembali menetap di sana. (tanpa renew contract)
Untuk pengetahuan tuan, tuan rumah (Encik S) ada seorong perantara (Encik Y) untuk urusan sewa rumah beliau.
Semua urusan sewa rumah saya hanya berurusan dengan Encik Y dari mula. Menaikkan sewa dari RM 330 ke Rm 480 dan menyewakan kepada pihak lain juga dicadangkan oleh Encik Y.
Asasnya sewa yang dibayar kepada pemilik rumah hanya RM 330 dah RM 150 adalah sebagai back up samada untuk membaiki peralatan rumah asas yang rosak @ back up sepanjang tiada penyewa masuk.
Mohon pencerahan, lebihan RM 150 yang saya terima dari penyewa sekarang boleh diambil @ tidak sedangkan perkara ini dicadangkan oleh Encik Y sendiri selaku wakil Encik S.
Jawapan pencerahan dari pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah diharuskan bagi penyewa rumah untuk menyewakan semula rumah tersebut kepada orang lain selama dalam tempoh sewaan yang diakadkan dengan pemilik rumah, sama ada bayaran sewaan yang dikenakan sama dengan bayaran sewaan yang dibayar kepada pemilik atau lebih tinggi atau lebih rendah. Ini kerana akad sewaan adalah sama seperti akad jual-beli iaitu akad pertukaran. Apabila sempurna akad sewaan, manfaat rumah yang disewa telah menjadi milik penyewa, maka ia harus dimanfaatkan untuk diri penyewa atau untuk orang lain.
Namun keharusan menyewa semula itu terikat dengan syarat berikut;
1. Rumah tersebut tidak terkesan dengan sebab bertukar tangan penyewa seperti menyebabkan kerosakan atau sebagainya.
2. Penggunaan penyewa kedua ke atas rumah tersebut sama seperti yang diakadkan antara penyewa pertama dengan pemilik atau penggunaan yang kurang risiko dari itu, contohnya; jika penyewa pertama menyewanya untuk digunakan sebagai kediaman, tidak harus ia menyewanya kepada orang lain untuk dijadikan kilang atau kedai makan.
3. Mendapat izin dari pemilik rumah kerana akad sewaan hanya sah dibuat oleh pemilik.
والله أعلم بالصواب