Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, saya apabila nak buang air kecil terlihat seluar dalam saya ada satu benda melekat berwarna putih dan berkilat sedikit bahagian depan, sanggat sikit dan kering. Adakah itu najis, saya tidak rasa keluar apa-apa dari kemaluan saya.. Kadang ada dan kadang tidak kelihatan dan tidak pasti, kalau pakai seluar dalam warna cerah tak nampak. Bagaimana keadaan saya ustaz adakah ini normal. Saya sanggat tertekan dalam keadaan ini ustaz.. Saya asyik berfikir tentang ini ustaz saya rasa dah tak tenang dan macam ada ganguan fikiran ustaz... Ustaz adakah setiap kali sebelum solat saya perlu periksa seluar dalam saya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, ciri yang disebutkan berkemungkinan air mazi atau air wadi dan kedua-duanya adalah najis serta membatalkan wuduk apabila keluar . Air mazi kebiasaannya akan keluar jika seseorang teransang atau bershahwat manakala air wadi biasanya keluar kerana terlalu letih melakukan pekerjaan berat. Melihat kepada situasi yang tuan hadapi, tuan wajib membersihkan kemaluan dan pakaian yang terkena cecair tersebut serta memperbaharui wudhu' sebelum mendirikan solat untuk memastikan solat sah. Firman Allah SWT di dalam surah al-Muddasir ayat ke -4 ;
وَثِيَابَكَ فَطَهِّر
Maksudnya ; Dan pakaian kamu maka bersihkanlah
Suci pakaian dan tubuh badan daripada najis merupakan syarat sah solat yang wajib dipenuhi oleh setiap umat Islam.
والله أعلم بالصواب