Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan
1. Bolehkan kita berniat untuk membayar semula duit yang sepatutnya bukan milik kita kepada seseorang tanpa memberitahu niat sebenar kita atas malu akan aib & dosa yg kita lakukakan kepada beliau?
2. Bagaimana kita hendak perjelaskan segala hutang tpi lupa akan berapa banyak kita berhutang kepada sesiapa?
Jawapan
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan,
Bagi persoalan pertama, dibolehkan untuk berbuat demikian sekiranya itu lebih mendatangkan manfaat dan dapat mengelakkan mudharat. Namun adalah lebih baik dengan memberitahu perkara yang sebenarnya secara umum dan memastikan matlamat bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan baik lebih-lebih lagi jika melibatkan hutang.
Bagi persoalan kedua, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 282:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).
Dan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
“Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Riwayat Bukhari)
Dalam hal ini, Islam sangat menggalakkan hutang dalam keadaan yang teratur dengan menulis setiap transaksi yang dijalankan bagi mengelakkan lupa dan sebagainya. Sekiranya terlupa, adalah lebih baik tuan bertanya langsung kepada pihak yang memberikan hutang dan sekiranya pihak tersebut juga lupa, maka perlu ada persepakatan nilaian hutang yang lebih diyakini dan memuaskan kedua-dua belah pihak.
Dan sekiranya individu yang memberikan hutang tidak dapat dijejaki, usaha paling awal adalah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari individu tersebut, atau warisnya sekiranya telah meninggal dunia. Jika gagal, tuan boleh menghubungi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mendapatkan khidmat nasihat dan serahkan wang tersebut kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah.
والله أعلم بالصواب