Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum WBT
Tuan & Puan Ahli Panel,
Saya agak keliru tentang hukum bersuci dari hadas berat berpunca daripada anjing peliharaan jiran saya. Jiran yang tinggal dihadapan rumah saya sering menyuruh orang gajinya supaya membasuh kandang anjing yang terletak didepan kawasan rumah jiran saya. Anjing itu juga kadang kala dilepaskan dan berkeliaran di kawasan tersebut. Ruangan itu juga dijadikan tempat meletak kereta milik jiran saya. Setiap pagi, orang gaji itu akan membasuh kereta dan kandang anjing. Air basuhan itu akan mengallir ke jalan raya dan setengah air basuhan itu akan masuk ke kawasan rumah saya iaitu ruang letak kereta rumah saya. Saya telah beberapa kali menegur orang gaji itu supaya memastikan najis anjing tidak dibasuh sesuka hati dan pastikan air basuhan itu tidak mengalir ke jalan dan kawasan rumah saya. Orang gaji itu beritahu saya bahawa anjing tuannya biasanya akan buang najis di bekas yang disediakan. Tetapi hal ini tak mungkin kerana anjing yang dilepaskan mungkin akan kencing pada tayar kereta jiran saya itu. Semasa kereta jiran dibasuh, air basuhan itu mengalir ke kawasan rumah saya. Buat masa ini, saya tidak mahu menegur terus tuan rumah itu kerana ingin menjaga keharmonian berjiran.
Dalam situasi ini, adakah jatuh kewajipan untuk melakukan basuhan tujuh kali dengan satu basahan air bercampur tanah di kawasan rumah saya yang dimasuki air basuhan kandang anjing dan kereta jiran saya itu?
Perlukah saya membasuh (sertu) kasut saya yang memijak kawasan itu?
Kami juga masuk ke dalam kereta dengan kasut yang memijak tempat air itu megalir. Kami selalu cuba mengelak dari memijak terus air basuhan itu. Tetapi air yang mengalir masuk tidak menentu dan setelah air itu kering, kami tidak tahu dan terpaksa pijak dengan berkasut. Bagaimana pula dengan ruangan letak kaki dalam kereta saya itu. Bagaimana saya hendak menyucikannya?
Saya juga ada membela kucing dan ia juga memijak tempat-tempat yang terkena air basuhan dari rumah jiran saya itu. Kucing saya itu ada masanya akan masuk ke dalam rumah saya.
Setiap kali hujan,air hujan juga akan mengalir masuk ke kawasan rumah saya kerana kedudukan rumah saya akan rendah sedikit daripada kedudukan rumah jiran saya itu.
Anak-anak saya juga ada kalanya akan pijak kawasan berdekatan pintu masuk rumah saya tanpa berkasut dan masuk ke dalam rumah. Adakah kawasan itu bernajis kerana kasut-kasut juga diletakkan berdekatan dengan pintu masuk rumah saya.
Saya tidak nampak dengan jelas air kencing atau tahi anjing itu bercampur dengan air basuhan kereta dan kandang anjing. Saya agak ragu-ragu dan khuatir kasut dan tapak kaki kami akan bernajis berat.
Anjing itu tidak masuk ke kawasan rumah saya kerena pagar rumah saya selalu tertutup. Cuma kucing saya akan merayau ke jalan raya yang terkena air basuhan itu.
Dalam hal ini, bagaimanakah cara terbaik untuk menegur jiran saya itu demi menjaga keharmonian kejiranan? Bagaimana pula situasinya apabila bertemu dengan jiran saya, kami berjabat tangan. Adakah tangan saya bernajis kerana bersalaman ? Saya tahu jiran itu bela anjing. Bagaimana keadaanya apabila menziarah jiran saya, adakah tapak kaki saya bernajis kerana memasuki rumah jiran saya itu? Anjingnya juga selalu masuk ke dalam rumah jiran. Saya yakin dan pasti tidak pijak najis anjing dan sangat berhati-hati semasa memasuki rumah jiran.
Segala perhatian dan pandangan tuan & puan amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Namun jika tidak dapat diyakini dengan pasti bahawa terdapatnya najis yang turut mengalir bersama air basuhan tersebut, maka kawasan yang terkena aliran air basuhan tersebut tidak najis. Oleh itu, para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini. Di antaranya adalah kaedah yang masyhur iaitu :
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Maksudnya : “Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya.”
Berdasarkan kaedah ini, apabila tiada bukti yang yang jelas sama ada terdapatnya ain, warna atau rasa najis anjing tersebut maka ianya kekal suci. Jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh ada menyatakan bahawa:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
Cara terbaik untuk menegur jiran tersebut demi menjaga keharmonian hidup berjiran adalah dengan berbincang dengan cara yang baik berkaitan memelihara anjing tidak menjadi satu kesalahan jika ianya mengikut peraturan yang berkuatkuasa, namun dari sudut agama Islam segala perkara yang berkaitan dengan anjing adalah najis. Berjabat tangan dengan jiran yang membela anjing adalah tidak najis selagi tidak dapat dipastikan tangan jiran tersebut mempunyai najis. Apabila menziarahi jiran tersebut, tapak kaki tuan tidak bernajis kerana memasuki rumah jiran tersebut selagi tidak dapat dipastikan ianya terkena najis.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.