BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalam Ustaz,

Ayah kandung saya berkahwin semula setelah kematian ibu kandung saya.

Sewaktu menziarahi ayah saya yang telah menetap di rumah ibu tiri saya, saya menyedari ibu tiri saya mengamalkan amalan yang bertentangan dengan syarak. Saya melihat terdapat busut besar di dalam salah satu bilik di rumah tersebut. Setelah bertanya kepada adik beradik, mereka menyatakan bahawa ibu tiri saya adalah seorang bomoh.

Kini ayah saya telah meninggal dunia.

Soalan saya:

Apakah tanggungjawab saya kepada ibu tiri setelah kematian bapa sekiranya beliau masih mengamalkan amalan bertentangan syarak tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, ibu tiri tersebut tetap menjadi mahram kepada saudara walaupun ayah kandung telah meninggal dunia, Saudara masih bertanggungjawab ke atasnya  dan wajib menegur serta menasihatinya daripada berterusan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Sebagai seorang anak, nasihatilah ibu secara berhikmah dan terangkan dengan sebaiknya bahawa perbuatan syirik dan menyekutukan Allah adalah berdosa besar. 

Saudara juga boleh mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak lain yang lebih arif serta berkepakaran dalam memerangi perkara-perkara syirik yang dilakukan oleh ibu tiri. Mudah-mudahan ibu tiri saudara akan sedar dan serta insaf bahawa perbuatannya selama ini adalah syirik dan ia adalah dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah. Mudah-mudahan saudara tidak berputus harap  dalam usaha  membawa ibu kembali kepada mentauhidkan Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 163

message user image