Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalammualaikum. saya ingin bertanya soal isu murtad. dau tahun yang lalu saya pernah bergaduh dengan rakan saya di whatsapp. saya telah menulis saya kafir di ruangan whatsapp dalam keadaan marah dan beremosi kepada rakan saya tersebut sedangkan saya tiada niat hendak membatalkan akidah saya. setelah itu saya sudah bertaubat dengan mengerjakan solat taubat dan beristighfar. tetapi hari ini saya menjadi was was sama ada taubat saya betul atau tidak. saya lupa sama ada saya telah mengucap 2 kalimat syahadah atau tidak dua tahun yang lalu. jika berfikir saya tidak mengucap kalimat syahadah timbul was was yang mengatakan saya sudah menyebut, jika berfikir saya sudah mengucap kalimat syahadah timbul was was bahawa saya belum mengucap dua kalimat syahadah. harap dapat penjelasan yang penuh atas permasalahan saya ini. maaf mengganggu.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, akidah boleh terbatal sama ada melalui perkataan, perbuatan dan pengakuan. Justeru, membuat pengakuan melalui perkataan “saya kafir” merupakan antara ciri yang boleh membatalkan akidah. Adapun, semasa ayat tersebut dilafazkan, tuan berada dalam keadaan marah dan tidak berniat terhadap apa yang diperkatakannya. Kita sedia maklum, bila dalam keadaan marah emosi seseorang menjadi tidak stabil, terganggu, stress dan seumpamanya. Ketika marahlah syaitan berperanan menggangu manusia. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Shofiyah binti Huyay, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan menyusup masuk dalam diri manusia melalui peredaran darah”. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, tuan yang melafazkan ayat kufur tanpa niat atau secara tidak sengaja tidak dihukumkan sebagai kafir dan tidak pula batal syahadah. Oleh itu, tuan tidak perlu untuk mengucap syahadah kembali. Namun begitu, sekadar untuk kesenangan hati adalah digalakkan untuk melakukan demikian serta memohon keampunan dan perlindungan kepada Allah SWT daripada bisikan-bisikan syaitan tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf, ayat 200:
وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Bermaksud: dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Disamping, sentiasa memperbaharui syahadah di dalam solat dan di luar solat, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Bermaksud : Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya : Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.