BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya merupakan seorang pelajar di London, United Kingdom. Kini saya bekerja di sebuah restaurant yang menjual salad dan ayam yang halal. Tapi baru2 ini, saya mendapat tahu bahawa terdapat satu menu salad yang disertakan dengan khinzir. (95% makanan adalah halal manakala baki 5% adalah menu yang mengandungi khinzir). Tugas saya di restaurant tersebut adalah membasuh pinggan ataupun menjadi penyambut tetamu. Apakah hukum pekerjaan saya ini?. Jika tidak dibenarkan, bagaimana pula dengan gaji yang telah saya terima selama ini, saya baru mendapat tahu tentang kewujudan menu tersebut semalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Islam menuntut kepada penganutnya untuk sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat ke 88 seperti berikut :

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik..”

Sehubungan itu, bekerja direstoran tersebut tidak haram tetapi makruh kerana hasil dan gaji bekerja di restoran tersebut bercampur halal dan haram, maka hasil pendapatan yang diterima sebelum ini adalah halal kerana tuan tidak mengetahui perkara sebenar yang dijual oleh restoran tersebut. 

Namun begitu, dicadangkan kepada tuan agar mencari pekerjaan di tempat yang sememangnya halal dan tidak menimbulkan sebarang syubhah ke atas perniagaan yang dijalankan kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya : “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, mencari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, ia akan menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 154

message user image