Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,saya ingin bertanya
jika seseorang nazar sekiranya bercakap dengan si fulan,dia akan berpuasa ,selapas itu,dia bercakap dengan si fulan bnyak kali
Adakah orang yang bernazar itu perlu berpuasa sekali sahaja atau berkali kali
Adakah berulang hukuman untuk berpuasa sekiranya lafaz nazar hanya sekali
Mohon pencerahan ustaz
Terima kasih atas penerangan yang diberikan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nazar merupakan janji manusia kepada Allah SWT bagi tujuan mendekatkan diri kepada penciptaNya. Apabila sempurna syarat dan rukunnya maka wajib melaksanakannya. Firman Allah SWT:
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya (Surah al-Hajj:29)
Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk membunuh, berzina atau melakukan perkara makruh seperti tidak mengerjakan solat sunat rawatib (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji Jilid 2, mukasurat 263).
Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain RA, sabda Baginda SAW:
لاَ نَذْرَ فِي مَعْصِيَةٍ
Maksudnya: Tidak ada Nazar dalam perkara kemaksiatan kepada Allah SWT
Merujuk kepada persoalan tuan, nazar tuan tersebut termasuk dalam jenis Nazar Bantahan iaitu membuat nazar yang didorong oleh perasaan marah. Contohnya, seorang berkata semasa marah atau pertengkaran : Jika aku bercakap dengan seseorang, wajiblah aku berpuasa kerana Allah selama sebulan. Sehubungan itu, apabila dia bercakap dengan seseorang, wajib dia melakukan iltizamnya atau membayar denda bersumpah ( kaffarah sumpah ). Hal ini adalah kerana ia seolah-olah menyerupai sumpah sebagai cara mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu perbuatan.
Kaffarah nazar sama dengan kaffarah sumpah iaitu memberi makan sepuluh orang miskin dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang budak. Barangsiapa tidak mampu melakukan yang demikian, maka kaffarahnya puasa selama tiga hari.
والله أعلم بالصواب