Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Lebih kurang 10 tahun yang lepas ketika bulan puasa saya telah melakukan perbuatan zina di siang hari. Setelah itu saya amat menyesal dan saya ingin bertaubat dengan perbuatan tersebut tetapi saya tidak ingat adakah ketika melakukan perkara terkutuk itu saya sudah tahu tentang Kaffarah yang akan dikenakan ini. Adakala saya fikir yang saya sudah tahu ketika itu dan adakala saya fikir saya hanya tahu tentang Kaffarah ini setelah melakukan zina tersebut melalui ceramah agama yang saya dengar. Kerana ianya sudah terlalu lama, jadi saya tidak ingat samaada saya sudah tahu atau tidak pada ketika itu. Saya ingin meminta jasa baik untuk menjelaskan situasi saya adakah diwajibkan Kafarrah ke atas saya dalam situasi ini.
Dan jika ia masih wajib keatas saya, apakah definasi ketidakmampuan untuk berpuasa dua bulan ? adakah hanya sekadar badan terasa lemah dan mudah rasa ngantuk mengakibatkan segala perkerjaan seharian tidak dapat dibuat seperti biasa termasuk dalam definasi tidak mampu berpuasa dua bulan berturut dan boleh untuk memilih memberi makan kepada golongan miskin? Terima Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perkara utama yang perlu dilakukan adalah dengan bertaubat dengan sebenar taubat iaitu dengan meninggalkan, membenci dan menjauhi perkara yang boleh membawa kepada dosa zina. Firman Allah SWT di dalam surah al-A'raaf ayat 153;
وَالَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ ثُمَّ تَابُوا مِنْ بَعْدِهَا وَآمَنُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, maka sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Bagi puasa yang ditinggalkan , puasa hari tersebut wajib diqada' beserta fidyah jika masih belum qada' puasa tersebut sehingga masuk ramadhan seterusnya. Sekiranya sempat qada' sebelum tiba ramadhan seterusnya maka memadai dengan qada' sahaja. Qada' diwajibkan kepada lelaki dan wanita yang bersetubuh.
Adapun kaffarah yang ditanyakan, ia merupakan hukuman yang ditentukan oleh Syarak kepada orang yang membatalkan puasa dengan bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan hanya kepada lelaki sahaja. Kaffarah tersebut adalah dengan mengikut turutan iaitu bermula dengan membebaskan seorang hamba. Jika tidak berkemampuan maka wajib berpuasa selama dua bulan berturut - turut. Jika tidak mampu maka wajib memberi makan kepada 60 orang fakir miskin dengan kadar secupak makanan asasi bagi seorang.
Kemampuan berpuasa perlu melihat kepada keadaan kesihatan fizikal seseorang. Sekiranya berpuasa akan menyebabkannya mengidap sesuatu penyakit, lewat sembuh atau menyebabkan kesihatan terjejas, maka ia dikira tidak mampu berpuasa. Adapun jika berpuasa hanya menyebabkan seseorang letih atau tidak bertenaga , ia merupakan perkara biasa yang dialami oleh sebahagian besar orang yang berpuasa.
والله أعلم بالصواب