BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Mohon penjelasan Ustaz berkenaan adab dan tertib ketika menganjurkan majlis bacaan Yasin dalam sesebuah kumpulan dan bagaimanakah memilih orang yang berkelayakan bagi memimpin majlis tersebut. Adakah penguasaan makhraj dan tajwid dititikberatkan dalam memimpin bacaan Yasin.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد  

Merujuk kepada persoalan tuan, membaca Al-Quran merupakan satu ibadah yang mulia dan disukai oleh Allah SWT. Namun harus diingat bahawa dalam membaca ayat suci Al-Quran, setiap muslim wajib membacanya secara tartil dengan memenuhi hak setiap huruf dan tuntutan hukum tajwid dalam apa jua situasi sekalipun termasuk bagi yang memimpin majlis bacaan yasin atau yang menyertainya. Perkara ini bukan lagi semata-mata adab atau tertib akan tetapi ia merupakan satu kewajipan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Muzammil ayat ke 4;

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya : Dan bacalah Al-Quran secara tartil (memenuhi tuntutan membacanya)

Dalam memilih individu yang berkelayakkan untuk memimpin majlis bacaan Yaasin, sudah tentu faktor ketepatan bacaan dan penguasaaan hukum tajwid seseorang perlu dijadikan keutamaan kerana ia merupakan satu kewajipan disamping dapat memberi pedoman dan tunjuk ajar kepada peserta lain.

Membaca Al-Quran dengan cara yang salah adalah berdosa jika ia dilakukan secara sengaja bagi orang yang mampu membacanya dengan betul. Namun bagi mereka yang kurang kemahiran bacaannya, kesalahan yang dilakukan adalah dimaafkan dalam masa yang sama wajib terus berusaha memperbaiki bacaan sehingga dapat menguasai bacaan Al-Quran dengan baik.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 154

message user image