BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Pada Sabtu lepas 10Julai 2021, ibu saudara saya telah dikebumikan ditanah perkuburan Islam Kg Ujung Permatang jam lebih kurang pukul 10pagi. Dipercayai/disyaki bahawa ade sesetengah kubur di kampung  telah di gali tersasar dari kiblat sebenar.

 

Saya tidak yakin dengan kedudukan kiblat jenazah yang difahami bahasa arah kiblat malaysia adalah dalam lingkungan 292 darjah, atas dasar menghormati orang-orang tua di kampung kami maka saya mengambil keputusan untuk tidak memperbesarkan hal. Apakah hukum & apakah tindakan, nasihat pejabat mufti berkaitan hal ini. Sekian terima kasih

 


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Hukum asal menggali dan memindahkan jenazah orang Islam adalah haram. Namun dalam keadaan-keadaan tertentu yang diharuskan syarak maka ianya boleh dilaksanakan. Antara sebab yang membolehkan ianya digali semula adalah kerana tersalah kiblat. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa kiblat bagi seseorang yang berada jauh dari Makkah memadai dengan menghadap jihah Kaabah. Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah daripada Nabi SAW:

ما بين المشرق والمغرب قبلة 

Maksudnya: Apa yang di antara timur dan barat adalah kiblat (Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Penentuan jihah kiblat menurut syarak adalah lebih luas sempadan arahnya selagi mana kiblat sebenar bukan berada di kiri, kanan atau di belakangnya.

Untuk makluman juga, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah membuat penentuan semula tanda arah kiblat di semua tanah perkuburan Islam dalam negeri Selangor. Jabatan ini telah memutuskan mana-mana jenazah yang dikebumikan salah arah kiblatnya di tapak perkuburan itu hendaklah dipalingkan semula ke arah jihah kiblat yang sebenar, kecuali jika jenazah itu sudah rosak dan berubah sifatnya. Jabatan ini mengambil maklum atas maklumat ini dan akan membuat siasatan lanjut atas tanah perkuburan yang dimaksudkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.      


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 174

message user image