BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya dan isteri ada bergaduh teruk beberapa bulan lepas. Dalam kehangatan tu, saya nak suruh dia berhenti, saya sebut "kalau kau macam ni lagi aku ceraikan kau" meletakkan syarat supaya dia berhenti. Tetapi isteri saya yakin dan kata yang sy tidak meletakkan syarat. Macam mana tuan. Saya sangat bingung memikirkan hal ini. Isteri tak mahu terima yang saya ada meletakkan syarat disitu. Dia kata kalau dia yakin, dia perlu jauhkan diri dari saya. Apakah hukum sebenarnya.

 

Saya cuba mengajukan soalan ke jabatan hal ehwal keluarga dan diminta untuk merujuk ke pejabat Mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, kes ini melibatkan pertikaian antara suami dan isteri berkaitan penentuan serta perincian lafaz cerai taklik yang telah dilafazkan oleh suami kepada isterinya. Sekiranya kita merujuk kepada Seksyen 57(2), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, maka dalam kes tuan ini pihak mahkamah adalah berbidang kuasa untuk mengadakan siasatan terhadap pihak-pihak bagi memastikan talak itu sah ataupun sebaliknya. 

Tuan boleh merujuk kepada Seksyen 57. Pendaftaran perceraian di luar Mahkamah.
(1) Walau apa pun seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada Mahkamah.
(2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafazkan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak.
(3) Jika Mahkamah berpuashati bahawa talaq yang telah dilafazkan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, maka Mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 125—

(a) membuat perintah membenarkan perceraian dengan talaq;
(b) merekodkan perceraian itu; dan
(c) menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.

Oleh yang demikian, jabatan ini mencadangkan pihak tuan untuk hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan lafaz talaq tersebut. Ini kerana hanya Mahkamah Syariah yang boleh menentukan secara rasmi dan muktamad sama ada sesuatu lafaz yang diucapkan oleh suami kepada isterinya itu, sama ada dengan menggunakan perkataan jelas atau sindiran, boleh mengakibatkan atau membawa kepada perceraian.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 154

message user image