Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SOALAN :
Saya mohon kepastian dan pencerahan.
1- "Kau ingat solat tu boleh bagi kau makan" - apakah hukum suami saya berkata demikian kepada saya yang sedang habis solat.
2- Apakah hukum dan status perkahwinan saya, sekiranya didapati kata - kata suami itu boleh dijatuhkan hukuman murtad.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, akidah boleh terbatal sama ada melalui perkataan, perbuatan dan pengakuan. Justeru, kata-kata seperti “Kau ingat solat tu boleh bagi kau makan” yang diucapkan boleh difahami seperti mempersenda kewajipan solat dan antara ciri yang boleh menyebabkan akidah seseorang tergelincir. Ia merupakan satu dosa besar dan perlu bertaubat kepada Allah SWT.
Walau bagaimanapun, tidaklah dihukumkan murtad atas suami. Namun, wajib atasnya bertaubat dan menginsafi diri agar tunduk dan patuh atas semua yang difardhukan ke atas seorang muslim yang mukallaf serta tidak mempersendakan kewajipan tersebut.
Di samping itu, sentiasa memperbaharui keimanan, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Bermaksud: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya : Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad)
Status perkahwinan puan masih sah sebagai suami isteri.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.