Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Ustaz,
Peristiwa ini sudah lama berlaku, kira-kira 20 tahun yang lalu. Saya pernah tumpang kereta kawan yang bukan Islam untuk pergi makan tengah hari. Saya tahu dia mempunyai beberapa ekor anjing. Semasa mahu naik ke dalam kereta, saya ternampak semacam kesan bulu haiwan atau mungkin juga kusyen tempat duduk yg lusuh dan berbulu - saya tak pasti. Lepas tu, saya lupakan soal tu. Saya tidak ingat sama ada saya dalam keadaan berpeluh atau basah pada waktu itu, tapi saya rasa tidak.
Selepas 20 tahun benda itu berlaku, baru saya teringat balik dan ada rase was-was sama ada saya perlu sertu atau tidak. Saya takut ibadah-ibadah saya yang lain tidak diterima oleh Allah kerana saya tidak bersuci dengan sempurna.
Soalan - perlukah saya sertu? Apa akan terjadi kepada ibadah saya selama ini?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Oleh itu, bagi persoalan ditimbulkan tidak perlu disertu kerana perkara telah berlaku 20 tahun yang lalu. Dalam situasi 20 tahun yang lalu juga tuan tidak dapat meyakini samada terdapatnya najis yang sememangnya daripada anjing. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
Manakala amal ibadah yang telah dibuat selama 20 tahun yang lepas itu telah pun selesai berlaku, dipohon kepada tuan memohon doa kepada Allah SWT agar segala amal ibadah tersebut diterima oleh Allah SWT atas kekeliruan diri kita sebagai hamba-Nya yang kerdil.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.