Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin kemukakan beberapa soalan:
1) Jika seseorang mengalami was was air mazi keluar atau tidak, apakah yang perlu dilakukan? Adakah sekadar cek seluar dalam sama ada ada kesan air mazi atau pun tidak? Lebih tepat lagi pastikan kering ataupun basah. Kalau tiada kesan air mazi dan seluar dlm masih kering, adakah kita anggap tiada air mazi keluar?
2) Ragu ragu air kencing keluar selepas kencing. Perkara begini jarang sekali berlaku. Cuma bila berlaku saya rasa was was. Selepas kencing, saya akan pastikan titisan habis keluar kemudian baru lakukan 3 kali berdehem. Seterusnya menyucikan dgn lalukan air di kawasan keluarnya air kencing tersebut. Setelah selesai, sewaktu ingin mengambil wuduk. Saya tak pasti sama ada sisa air kencing yg keluar ataupun sisa air basuhan tadi yg terkena pada seluar dlm saya. Apa yg harus saya lakukan? Adakah perlu abaikan sahaja?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Sedikit penekunan terhadap perasaan yang saudara alami ini, suka saya nyatakan bahawa perkara pertama yang ingin dijelaskan dan perlu diambil penekanan adalah berkenaan penyakit was-was yang dialami. Penyakit ini sering menjadi masalah sehingga seolah-olah menjadi penghalang untuk melakukan semua tindakan. Kesemua ini berlaku adalah kerana kekurangan ilmu selain kita tidak memperlengkapkan persediaan agar penyakit was-was ini boleh dijauhi.
Di dalam Al-Quran, perkataan was-was selalu digandingkan dengan syaitan. Ini memberikan isyarat bahawa was-was itu adalah merupakan bisikan daripada syaitan. Bisikan dan hasutan ini sedaya mungkin dilakukan oleh syaitan sehingga pada satu tahap ia boleh membawa kepada keraguan.
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (١) مَلِكِ النَّاسِ (٢) إِلَهِ النَّاسِ (٣) مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (٤) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (٥) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (٦)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia (1) "Yang Menguasai sekalian manusia,(2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (5) Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia"(6).
Berbalik kepada persoalan yang dibangkitkan
1. Bagi mengelakkan perasaan was-was itu, saudara boleh sahaja memeriksa sama ada terdapat kesan air mazi atau tidak pada seluar dalam yang dipakai. Jika tiada apa-apa kesan, maka tiadalah air mazi yang keluar. Dalam hal ini, kaedah fiqh ada menyebut:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya: Keyakinan tidak (boleh) dihilangkan dengan syak (keraguan).
2. Dalam situasi was-was tersebut, saudara perlu membuat keputusan dengan penuh yakin. Jika hanya syak maka abaikan sahaja. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata:
دَعْ مَا يُرِيْبُكَ إِلىَ مَا لاَ يُرِيْبُكَ
Maksudnya : “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu” (Riwayat al-Tirmizi)
الله أعلم بالصواب