BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanyakan soalan berkenaan anjing bermain di taman mainan kanak-kanak.. Saya ada ternampak anjing dibawa bermain di taman permainan di perumahan saya dan anjing itu ada cuba menaiki gelongsor di taman itu. Apakah hukum jika kanak-kanak bermain di situ? Perlukah disertu dahulu? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan puan yang terlihat terdapat seekor anjing telah dibawa bermain di taman permainan di perumahan puan dan anjing itu ada cuba menaiki gelongsor di taman permainan tersebut, jika jelas terbukti tempat tertentu terkena najis mughallazah, seperti terdapat ain najis atau melihat sendiri anjing menjilat tempat tertentu, maka hanya tempat tersebut yang perlu disertu selepas dihilangkan ain najis tersebut. Jika tiada najis anjing di kawasan tersebut, maka harus kanak-kanak untuk bermain di kawasan tersebut dan tidak perlu disertu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 116

message user image