BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada beberapa persoalan berkenaan harta pusaka. Ibu dan kakak saya baru sahaja meninggal dunia dan tidak sempat menyediakan apa-apa wasiat berkaitan dengan peninggalan harta mereka. Antara harta peninggalan yang ada adalah wang simpanan di bank, wang tunai, 1 biji rumah dan barang kemas. Untuk makluman, urusan bayaran untuk pengebumian, pelunasan atau pembayaran hutang arwah telah berjaya diselesaikan oleh waris tanpa menggunakan wang peninggalan arwah.

Persoalan:

1. Sekiranya semua ahli keluarga/waris  bersetuju untuk wang simpanan di bank dan wang tunai tidak dibahagikan secara faraid tetapi digunakan sepenuhnya untuk diwakafkan/disedekahkan/dibayar zakat bagi pihak arwah, adakah ianya dibenarkan mengikut syarak?

2. Sekiranya semua ahli keluarga/waris bersetuju untuk barang kemas peninggalan arwah  tidak dibahagikan secara faraid tetapi diberikan kepada anak dan adik perempuan yang lain,  adakah ianya dibenarkan oleh syarak?

3. Sekiranya semua ahli  keluarga/waris bersetuju untuk rumah peninggalan tersebut  tidak dibahagikan secara faraid  tetapi dijadikan sebagai rumah pusaka, adakah ianya dibenarkan oleh syarak?

 

Terima kasih atas jawapan yang diberikan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, setiap harta peninggalan si mati hendaklah ditentukan pemiliknya yang baharu. Penentuan ini dibuat selepas ditolak kos pengurusan jenazah si mati, hutang, wasiat dan tuntutan yang lain terhadap si mati. Islam telah menetapkan kaedah penentuan tersebut dengan menggunakan kaedah faraid. Penentuan mengikut kaedah faraid perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenalpasti waris yang layak menerima harta pusaka dan kadarnya.

1. Bagi tujuan pembayaran zakat bagi pihak si mati, sekiranya terbukti si mati tidak menunaikan kewajipan tersebut ketika hayatnya, ia menjadi hutang si mati yang wajib diselesaikan sebelum pembahagian dibuat. Adapun jika semua ahli waris yang berhak mendapat harta pusaka bersetuju menggunakan wang simpanan di bank dan wang tunai si mati untuk diwakaf atau disedekah bagi pihak si mati, maka ia diharuskan dengan syarat tindakan tersebut dibuat selepas penentuan secara faraid diselesaikan dan semua waris mengetahui jumlah atau nilai harta pusaka yang berhak diperolehi. 

2. Diharuskan bagi semua ahli waris yang berhak mendapat harta pusaka bersetuju memberikan barang kemas peninggalan si mati kepada anak dan adik perempuan yang lain dengan syarat tindakan tersebut dibuat selepas penentuan secara faraid diselesaikan.

3. Rumah yang ditinggalkan oleh si mati secara automatik menjadi rumah pusaka (harta pusaka). Walaupun semua ahli waris yang berhak menerima harta pusaka bersetuju untuk mengekalkan rumah pusaka tersebut tanpa dijual, disewa atau dihibahkan, penentuan secara faraid tetap wajib dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengetahui hak masing-masing dan hak pewaris yang akan datang sekiranya berlaku kematian ahli waris.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 180

message user image