BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, terdapat beberapa soalan yang ingin saya dikemukakan.
Pertama: Hukum menjalankan perniagaan jual beli haiwan eksotik seperti ular, kalajengking, tikus dan lain-lain. Adakah status hasil pendapatan yang diterima?
Kedua: Bagaimana pula hukum kepada si pembeli iaitu individu itu sendiri yang ingin membela haiwan seperti yang dinyatakan? 
Itu sahaja, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 88:

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا

“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik.”

Demikian juga firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 157:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”

Islam mensyaratkan lima perkara bagi barang jualan untuk menjadikan jualan itu sah:

  1. Hendaklah barang itu suci dan bukan najis.
  2. Hendaklah barang itu bermanfaat.
  3. Hendaklah barang itu boleh diserahkan kepada pembeli.
  4. Hendaklah barang itu dimiliki oleh penjual.
  5. Hendaklah diketahui jenis, kadar dan sifatnya oleh pembeli dan penjual.

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim berkata:


ﻓَﺈِﻥْ ﻛَﺎﻥَ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﻨْﻔَﻊ ﻭَﺑَﺎﻋَﻪُ ﺻَﺢَّ ﺍﻟْﺒَﻴْﻊ ، ﻭَﻛَﺎﻥَ ﺛَﻤَﻨﻪ ﺣَﻠَﺎﻟًﺎ ﻫَﺬَﺍ ﻣَﺬْﻫَﺒﻨَﺎ ﻭَﻣَﺬْﻫَﺐ ﺍﻟْﻌُﻠَﻤَﺎﺀ ﻛَﺎﻓَّﺔ ﺇِﻟَّﺎ ﻣَﺎ ﺣَﻜَﻰ ﺍِﺑْﻦ ﺍﻟْﻤُﻨْﺬِﺭ
 

"Jika ia termasuk (haiwan) yang bermanfaat (atau beri faedah pada manusia), maka menjualnya adalah sah dan duit jualannya juga halal. Inilah pandangan mazhab kami (al-Syafi'e) dan mazhab kesemua ulamak, kecuali (satu pandangan) yang diriwayatkan oleh Ibnul Munzir." [Syarah Sohih Muslim]

Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu'  berkata:

ﺍﻟﺤﻴﻮﺍﻥ ﻣﺎ ﻻ ﻳﻨﺘﻔﻊ ﺑﻪ ﻓﻼ ﻳﺼﺢ ﺑﻴﻌﻪ ﻭﺫﻟﻚ ﻛﺎﻟﺨﻨﺎﻓﺲ ﻭﺍﻟﻌﻘﺎﺭﺏ ﻭﺍﻟﺤﻴﺎﺕ ﻭﺍﻟﺪﻳﺪﺍﻥ ﻭﺍﻟﻔﺄﺭ ﻭﺍﻟﻨﻤﻞ ﻭﺳﺎﺋﺮ ﺍﻟﺤﺸﺮﺍﺕ ﻭﻧﺤﻮﻫﺎ : ﻗﺎﻝ ﺃﺻﺤﺎﺑﻨﺎ ﻭﻻ ﻧﻈﺮ ﺇﻟﻰ ﻣﻨﺎﻓﻌﻬﺎ ﺍﻟﻤﻌﺪﻭﺩﺓ ﻣﻦ ﺧﻮﺍﺻﻬﺎ ﻷﻧﻬﺎ ﻣﻨﺎﻓﻊ ﺗﺎﻓﻬﺔ

"Haiwan yang tidak bermanfaat (atau tidak berfaedah kepada manusia) tidak sah menjualnya, seperti kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut dan serangga lain seumpamanya. Telah berkata as'hab kami (ulamak Syafi'iyyah) : Tidak dilihat ia (haiwan-haiwan ini) sebagai bermanfaat, melainkan (jika ada pun) manfaatnya terlalu kecil." [al-Majmu' Syarh al-Muhazzab]

Bagi menjawab persoalan tuan, berkaitan dengan hukum dan pendapatan yang diperolehi dari urusniaga ini adalah bergantung kepada jenis haiwan yang diniagakan dan manfaatnya kepada pembeli. Sekiranya binatang yang diniagakan tidak mendatangkan faedah dan manfaat kepada manusia, maka ianya adalah jual beli yang tidak sah dan pendapatan yang diperolehi juga boleh dikira sebagai syubhah dan haram.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 159

message user image