Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
"Bapak saya yang menanam pokok durian ini dahulu. Kami berhak ke atas buah durian ini walaupun tanah ini bukan kami yang punya, kerana bapak saya yang menanam pokok di tanah ini dahulu.
Awak sebagai tuan punya tanah, tidak berhak ke atas buah dan pokok durian ini!"
Soalan: Betulkah kenyataan tersebut?
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, pokok dan hasil daripadanya adalah hak kepada yang menanam walaupun ia ditanam di tanah milik orang lain. Walaubagaimanapun, sekiranya tuan tanah meminta penanam pokok menebang atau mengosongkan tanah tersebut, maka wajib penanam pokok berbuat demikian. Seandainya terdapat kerosakan terhadap tanah tersebut, maka pemilik tanah boleh menuntut ganti rugi. Tuan tanah turut berhak menuntut sewa terhadap penggunaan tanah tersebut jika dia mengehendaki demikian. Ini berdasarkan kepada hadis Samurah bin Jundub:
أَنَّهُ كَانَتْ لَهُ عَضُدٌ مِنْ نَخْلٍ فِي حَائِطِ رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ قَالَ وَمَعَ الرَّجُلِ أَهْلُهُ قَالَ فَكَانَ سَمُرَةُ يَدْخُلُ إِلَى نَخْلِهِ فَيَتَأَذَّى بِهِ وَيَشُقُّ عَلَيْهِ فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَطَلَبَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى . قَالَ " فَهَبْهُ لَهُ وَلَكَ كَذَا وَكَذَا " . أَمْرًا رَغَّبَهُ فِيهِ فَأَبَى فَقَالَ " أَنْتَ مُضَارٌّ " . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِلأَنْصَارِيِّ " اذْهَبْ فَاقْلَعْ نَخْلَهُ "
Maksudnya : Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun milik salah seorang Ansar. Tempat tersebut didiami oleh orang Ansar tersebut bersama keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon kurma yang tumbuh di tanah orang Ansar tersebut. Kedatangan Samurah pada tanah tersebut mengganggu dan menyebabkan orang Ansar tersebut merasa tidak selesa. Orang Ansar tersebut menawarkan kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Orang Ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran tersebut. Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi SAW. Nabi SAW meminta Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SAW meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SAW mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.” Nabi SAW sebutkan hal yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi SAW mengatakan, “Engkau ini memang pengganggu!” Nabi SAW lantas berkata kepada si ansar, “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!”(Riwayat Abu Daud).
Sama ada tuan tanah mempunyai hak atau tidak terhadap hasil pokok tersebut. Kembali kepada perjanjian di antara bapak dan tuan tanah. Seandainya tuan tanah membenarkan bapak untuk menanam dengan tidak meletakkan sebarang syarat berhak terhadap hasil pokok tersebut maka tuan tanah tidak berhak terhadap hasil pokok tersebut tanpa izin. Jika tuan tanah ada meletakkan syarat berhak terhadap hasil pokok tersebut, maka tuan tanah ada berhak terhadap hasil pokok tersebut.
Sekiranya tidak diketahui kewujudan sebarang perjanjian, maka kembali kepada hukum asal iaitu tiada sebarang perjanjian di antara bapak dan tuan tanah. Ini bermakna tuan tanah tidak mempunyai hak terhadap hasil pokok tersebut dan perlu meminta izin untuk mengambil manfaat darinya. Ini sekiranya memang benar bahawa bapak adalah penanam pokok tersebut.
Namun, dalam konteks undang-undang tanah semasa di Malaysia, pemilik tanah mempunyai hak eksklusif terhadap tanah miliknya dan boleh membuat pendakwaan terhadap sebarang pencerobohan terhadap tanahnya. Oleh itu adalah disarankan agar mendapat dahulu keizinan daripada tuan tanah sebelum menanam sebarang pokok di kawasan tanah orang lain.
والله أعلم بالصواب