Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada 2 persoalan
1) Pada tahun 2018, saya ada buat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah namun saya dan suami tidak dapat hadir waktu bicara dan kes telah digugurkan kerana tidak hadir. Namun kami telah rujuk semula di pejabat agama sejurus selepas mendaftar pengesahan lafaz cerai waktu itu.
2) Tidak silap saya pada bulan November/Disember 2020, saya dan suami bergaduh dalam wassup dan suami marah dan mengatakan ayat seperti " tak payah bagitahu saya apa-apa, saya bukan suami awk lagi, jadi tidak perlu bagitahu saya". Pada waktu, saya ingat tentang ayat itu seperti lafaz kinayah, namun saya lupa apa yang terjadi selepas itu disebabkan telah tukar hp dan wassup tersebut hilang. Saya dan suami berbaik semula selepas itu dan saya tidak ingat langsung pasal ayat itu. Namun, baru-baru ini, saya teringat balik perkara itu dan bertanyakan kepada suami saya dan dia cakap dia langsung tak ingat pasal wassup itu dan dia mengatakan tiada niat langsung untuk bercerai walaupun kami bergaduh.
Adakah tidak jatuh talak disebabkan suami saya tiada niat waktu itu dan perlu ke saya daftar pengesahan lafaz cerai bagi soalan pertama dan kedua..
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Bagi kes pertama, penceraian telah berlaku walaupun tidak dibicarakan di mahkamah. Ini berdasarkan fakta bahawa permohonan pengesahan penceraian telah dibuat secara bersama, puan dan suami. Ini dikuatkan lagi dengan puan dan suami telah hadir ke Jabatan Agama Islam untuk melakukan rujuk, yang mengesahkan lagi bahawa penceraian telah berlaku.
Berkaitan sama ada puan perlu melaporkan kepada pihak mahkamah atau tidak. Merujuk kepada Undang-Undang Keluarga Islam seksyen 57 (1) dan sekysen 126, puan perlu melaporkan penceraian tersebut.
Seksyen 57. Pendaftaran perceraian di luar Mahkamah
(1) Walau apa pun seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada Mahkamah.
Seksyen 126. Tidak membuat laporan
(1) Jika seseorang berkewajipan membuat sesuatu laporan di bawah Enakmen ini dan dia bersengaja cuai atau tidak berbuat demikian maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
(2) Jika seseorang berkewajipan membuat sesuatu laporan atau dikehendaki mengemukakan sesuatu permohonan di bawah Enakmen ini atau dikehendaki memberi sesuatu maklumat atau menyempurnakan atau menandatangani apa-apa dokumen yang perlu di sisi undang-undang bagi maksud melaksanakan pendaftaran dokumen itu dan dia bersengaja cuai atau tidak membuat laporan itu atau mematuhi kehendak itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
2. Bagi kes kedua, lafaz yang diucapkan oleh suami merupakan lafaz kinayah. Talak menggunakan lafaz kinayah hanya akan berlaku dengan niat suami. Jika suami berniat talak, maka talak berlaku. Jika tidak, maka talak tidak berlaku. Jika talak tidak berlaku, maka tidak ada keperluan untuk melaporkannya kepada pihak mahkamah.
Walau bagaimanapun, seandainya terdapat perselisihan terhadap lafaz kinayah tersebut di antara pihak puan dan suami, bolehlah merujuk perkara tersebut ke pihak mahkamah.
والله أعلم بالصواب