BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Apakah hukum memakan daging haiwan yang disembelih oleh orang bukan Islam? Bagaimana pula jika disembelih oleh orang Kristian, dari sudut Mazhab Syafie? Terima kasih..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan tuan, salah satu syarat sah bagi penyembelih yang ditetapkan oleh Jumhur Ulama' adalah beragama Islam. Ini bermakna, binatang yang disembelih oleh orang bukan Islam (bukan ahli kitab) adalah tidak sah dan tidak boleh dimakan oleh orang Islam. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh  Saidina Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

 مَن صَلَّى صَلَاتَنَا واسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا، وأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذلكَ المُسْلِمُ الذي له ذِمَّةُ اللَّهِ وذِمَّةُ رَسولِهِ، فلا تُخْفِرُوا اللَّهَ في ذِمَّتِهِ

Maksudnya ; Sesiapa yang solat seperti kami, menghadap ke qiblat kami, memakan sembelihan kami, maka dia merupakan seorang muslim yang berada dalam jaminan Allah SWT dan RasulNya, maka janganlah khianat terhadapNya.

(Riwayat al-Bukhari)

Apa yang dapat difahamni dari hadis di atas adalah bahawa daging yang halal dimakan oleh orang Islam adalah daging dari binatang halal yang disembelih oleh orang Islam.

Berhubung sembelihan orang kristian (yang juga disebut dengan ahli kitab), Allah SWT ada menyatakan di dalam surah al-Maaidah ayat 5;

...الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ 

Maksudnya : "Pada hari ini dihalalkan kepada kamu memakan makanan yang lazat serta baik (disebut nama Allah padanya), dan makanan sembelihan orang yang diberi Kitab (ahli Kitab) adalah halal bagi kamu dan makanan sembelihan kamu halal bagi mereka..."

 

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa sembelihan ahli Kitab antaranya orang Kristian atau Nasrani adalah halal dimakan oleh orang Islam. Ini dikuatkan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 - 12 April 1984 telah membincangkan mengenai Hukum Penyembelihan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Muzakarah telah memutuskan bahawa sembelihan ahli kitab yang asli boleh dimakan oleh orang Islam dengan syarat penyembelihan mengikut kaedah-kaedah yang sah mengikut syarak.

Syarat yang ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa dan ia bertepatan dengan pandangan Mazhab Syafie bahawa penyembelih tersebut mestilah merupakan ahli kitab yang asli.  Ahli Kitab yang asli bermaksud mereka yang dapat dipastikan bahawa asal keturunan datuk nenek moyang mereka beragama Nasrani sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW bagi yang beragama Kristian. Manakala bagi yang beragama Yahudi pula hendaklah dapat dipastikan bahawa mereka berasal dari keturunan Bani Ya'kub yang keturunan datuk nenek mereka beragama Yahudi sebelum kedatangan Nabi Isa AS.

Adalah amat sukar pada masa ini untuk mendapatkan ahli Kitab dengan syarat yang dinyatakan di atas. Mungkin boleh dianggap bahawa kewujudan mereka telah tiada memandangkan masa telah berlalu terlalu lama dan telah berlaku banyak penyelewengan di dalam kepercayaan serta amalan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa sembelihan orang Kristian (converted) adalah tidak sah menurut pandangan mazhab Syafie. 

والله أعلم بالصواب     

 

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 1841

message user image