Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, boleh saya bertanya berkenaan perkara ini.
hadis Ummu A’thiyah:
كنَّا لا نعدُّ الكَدرةَ والصُّفرةَ بعدَ الطهرِ شيئًا
Maksudnya: Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan yang keluar selepas tempoh suci itu darah
1. Ini dimaksudkan setelah habis tempoh 15 hari ke?
2. Bagaimana dengan keputihan? Macam mana nak bezakan keputihan dengan sisa haid. Saya jadi keliru.. Saya risau sekiranya kekuningan yanga alami setelah haid dalam tempoh 15 haid sebenarnya keputihan..
3. Pada hari ke 11, saya dapati sudah suci, saya mandi dan solat. Pada hari 13 pagi ada kekuningan, malamnya bersih. Saya mandi dan solat semula. Pada hari ke 15 saya dapati keluar cecair putih dengan tompok-tompokan cream.. Masih dianggap haid ke?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمبن والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan,
1. Yang dimaksudkan "selepas tempoh suci" adalah selepas tempoh kebiasaan suci iaitu 15 hari, menurut pendapat yang assah dalam mazhab Syafie. Ini bermakna cecair kekuningan yang keluar di dalam tempoh 15 hari adalah dianggap sebagai darah haid.
2. Keputihan adalah cecair yang keluar dari faraj berwarna putih seperti warna putih susu. Sedangkan keputihan sisa haid (القصة البيضاء) sebagai tanda habis tempoh haid adalah cecair yang berwarna putih jernih seperti warna cecair putih telur. Cecair kekuningan yang keluar dalam tempoh 15 hari bukanlah keputihan.
3. Tindakan puan untuk mandi pada hari ke 13 disebabkan keluarnya kekuningan adalah bertepatan dengan pandangan yang assah dalam mazhab Syafie yang menganggapnya sebagai darah haid. Manakala tompoh-tompok keputihan yang keluar selepas 15 hari itu bukanlah darah haid.
والله أعلم بالصواب