Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum WBT,
Kehadapan YB Mufti Selangor,
Diharapkan YB Mufti dalam keadaan baik dan sihat. Saya ingin bertanya beberapa soalan bagi pihak ayah saya mengenai rumah peninggalan arwah atuk saya. Perkara ini merupakan perkara sensitif terhadap sesetengah individu, berikutan ini, saya mengambil inisiatif untuk bertanya secara peribadi melalui e-mail. Dibawah saya sertakan situasi:
1) kami ada 7 org adik beradik (namanya A hingga G)
2) abah beli rmh berharga rm42k tetapi guna nama G kerana abah sudah tua. Semua kos ditanggung abah. Tidak ada satu sen pun duit kami baradik ni.
3) bila abah meninggal, semua kos yg sudah di tanggung dari poket abah berjumlah rm8k. Bayaran bulanan sebanyak rm190.00 abah bayar menggunakan duit sewa rmh tersebut dan cara ini sudah berlngsung lebih kurang 15 tahun.
4) satu masa dulu abah pernah offer kpd kami adik beradik, sesiapa yg minat rmh tersebut untuk membeli dari abah dgn harga pasaran. Masa itu mungkin bernilai rm55k.
5) apabila abah kembali ke rahmatullah, G telah mengambil rmh itu dan byr rm8k. Dibahagikan kpd adik beradik semua (rm1150 seorang), kerana kononnya itulah harga yg arwah abah pernah keluarkan untuk rmh tersebut.
6) persoalannya, adakah tindakan G itu betul dari segi hukum syarak.?
7) akhirnya rumah tersebut di beli dgn harga rm8k termasuk baki pinjaman yg perlu di bayar bulanan.
8) mohon penjelasan dari yg arif.
Mohon bantuan dan maklumbalas daripada YB Mufti yang dimana saya yakin lebih arif tentang perkara yang diceritakan di atas. Segala kerjasama dan masa daripada YB Mufti amatlah saya hargai dan dahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada penjelasan puan, jika benar semua kos pembelian rumah ditanggung abah dan hanya menggunakan nama salah seorang nama anak yang dinamakan G hanya bagi tujuan pembiayaan perumahan memandangkan abah telah tua, maka menurut Hukum Syarak rumah tersebut adalah milik abah yang merupakan pembeli. Apabila abah meninggal rumah tersebut telah menjadi harta pusaka.
Apabila telah menjadi harta pusaka, rumah perlu dinilai mengikut harga semasa. Nilai semasa rumah tersebut perlu ditolak baki hutang pembiayaan perumahan yang dibuat serta tanggungjawab abah yang lain seperti hutang-piutang serta kos pengurusan jenazah. Jumlah akhir selepas ditolak perkara yang dinyatakan tadi adalah nilai rumah (harta pusaka) tersebut. Perlu diingat juga seandainya abah masih mempunyai isteri, maka isteri abah mungkin berhak menuntut harta sepencarian dari rumah tersebut.
Diandaikan nilai semasa atau pasaran rumah tersebut adalah RM60K dan baki hutang yang belum dibayar sebanyak RM20K. Maka nilai rumah tersebut adalah RM40K. Seandainya abah mempunyai hutang lain misalnya RM10K dan tiada sumber lain untuk melangsaikan hutang tersebut, maka hutang tersebut wajib dibayar menggunakan nilaian rumah tersebut. Jadi baki yang tinggal adalah RM30K. Seandainya isteri abah berkelayakkan untuk mendapat harta sepencarian, dia mungkin berhak mendapat 1/3 (jika tidak bekerja, atau 1/2 jika isteri turut sama menyumbang secara langsung membeli rumah tersebut) dari nilai rumah tersebut, RM30K, iaitu RM10K. Jadi nilai harta pusaka dari rumah tersebut adalah RM20K yang perlu diagihkan secara faraid di antara waris. Isteri si mati akan mendapat 1/8 apabila si mati meninggalkan anak, ibu si mati 1/6 (jika ada), bapa si mati 1/6 (jika ada), dan baki dikongsi di antara adik beradik dengan nisbah 2 bahagian (bagi lelaki) dan 1 bahagian (bagi perempuan).
Seandainya G ingin membeli rumah tersebut, G hendaklah membayar wang sebanyak RM40K sebagai harta pusaka dan meneruskan pembayaran rumah tersebut ke pihak bank. RM40K tersebut hendaklah dibahagikan berdasarkan kaedah di atas. G akan turut mendapat bahagian harta pusaka sebagai waris dari jumlah bersih nilaian rumah iaitu RM20K. Sebagai kesimpulan, tindakan G, adalah menyalahi Hukum Syarak dan tidak wajar sekiranya memang benar rumah itu adalah milik abah (harta pusaka),
والله أعلم بالصواب