Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bolehkah saya menggugurkan kandungan yang baru berusia beberapa minggu disebabkan saya telah mempunyai 4 orang anak dan yang kecil baru berusia 1 tahun 3 bulan. Saya mengalami kesaikitan tulang belakang (slip disc) dan apabila mengandung saya terpaksa menahan kesakitan dan ketidakselesaan apabila kandungan semakin membesar. saya amat serba salah dan rasa berdosa. Saya tak pasti adakah pengguguran ini akan dikira haram tau sebaliknya. Saya buntu dan hari2 menangis. Boleh tak jawab dengan segera. Mohon sangat2. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, ulama’ bersepakat bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan setelah ditiup roh tanpa sebab-sebab yang dikategorikan sebagai darurat. Usia kandungan yang ditiupkan roh adalah selepas kandungan itu berusia empat bulan atau 120 hari kehamilan. Adapun menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan roh padanya terdapat perbincangan di dalam kalangan ulama’ seperti berikut:- 1. Harus hukumnya menggugurkan janin yang berusia dalam tempoh 40 hari kehamilannya kerana dalam tempoh tersebut ia masih belum bernyawa dengan syarat : i. Kandungan tersebut akan memudharatkan isteri jika diteruskan ii. Putus susu kepada anak yang sedia ada disebabkan kandungan yang baru sedangkan suami tidak berkemampuan untuk mengupah orang lain menyusukan anaknya. iii. Mendapat persetujuan daripada suami isteri. iv. Pengguguran ini tidak membahayakan nyawa ibu. Oleh itu, jika doktor telah mengesahkannya, maka harus menggugurkan kandungan tersebut. والله أعلم بالصواب