BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

AsSalam,

Soalan saya berhubung kait dengan hukum menjamakkan waktu solat dalam keadaan rukhsah yang berterusan.

Anak saya sedang belajar di negara Jerman. Di tempatnya pada masa ini waktu Maghribnya 9 malam, Isyak pada 12 tengah malam dan subuhnya pula pada pukul 3 pagi. Di dalam keadaan waktu2 solat yang berdekatan antara satu dengan yang lain ini. Bolehkan situasi ini dikategorikan berada dalam keadaan rukhsah yang berpanjangan dan dibolehkan menjamakkan Solat Maghrib dan Isyak sepanjang musim di mana waktu solatnya adalah sebegini. 

Sekian, terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, secara asasnya pelaksanaan solat lima waktu iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak hendaklah dilaksanakan pada waktunya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 103:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya : “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Selain itu, solat pada awal waktu juga ditekankan dalam banyak hadith. Sepertimana hadith yang diriwayatkan Abdullah R.A Nabi S.A.W bahawa Nabi S.A.W ditanya tentang amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, baginda bersabda: 

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏

Maksudnya:  “Solat pada waktunya”. 

(Sahih al-Bukhari)

Menurut Mazhab Al-Syafi’i solat jamak harus dilakukan apabila terdapat sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak seperti musafir, keadaan hujan dan ketika hari Arafah bagi mereka yang mengerjakan haji.

Selain itu, menurut Imam Al-Nawawi beliau menukilkan pandangan sebahagian ulama bermazhab al-Syafi'i seperti Al-Qadhi Husain, Al-Ruyani, Abu Qasim Al-Rafi'i dan lain-lain iaitu menyatakan harus untuk menjamakkan solat selain dari sebab-sebab yang dinyatakan iaitu atas sebab keuzuran dan terdapat urusan yang mendesak berdasarkan kepada keperluan dan hajat yang mana menyukarkan dan menyulitkan untuk solat pada waktunya. Walau bagaimanapun, situasi anak saudara yang berada di Jerman tidak termasuk dalam rukhsah yang dibenarkan oleh syarak untuk melakukan solat jamak.

Kesimpulannya, sebagai hamba yang telah diamanahkan kewajipan solat maka laksanakanlah ia dengan sebaiknya dan penuh rasa tanggungjawab. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan hamba yang diredhai oleh Allah S.W.T.  

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 140

message user image