BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.Jika seseorang pernah mengatakan"Ya Allah,Jika aku dapat yg aku inginkan,aku akan tidak meminta apa apa lagi"

 

1)Apakah ini termasuk Nazar?

2)Apakah ad cara menebus atau membatalkan nazar seperti ini.

3)Jika keinginan tersebut benar di kabulkan,apakah kita tidak boleh lagi memohon apa apa lagi dari Allah seperti.Pengampunan dosa,murah rezeki dan lain lain sebagainya.Mengingat dia telah bernazar tidak minta apa apa lagi selepas keinginannya udh terkabul.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T melalui surah al-Hajj ayat ke-29:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya : "Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka."

1) Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan, lafaz yang diucapkan itu tidak menjadi nazar kerana ianya tidak membawa erti berjanji dalam melakukan kebaikan kepada Allah SWT. 

2) Jawapan ini tidak ditujukan kepada tuan kerana apa yang tuan ucapkan bukanlah nazar. Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan phak tuan, apabila seseorang itu bernazar, tidak ada cara untuk menebusnya atau membatalkannya kerana ianya wajib ditunaikan. Namun, jika seseorang itu tidak mampu untuk menunaikan nazarnya setelah dia berusaha untuk menunaikannya, maka dia wajib membayar kaffarah ke atas nazarnya itu  dengan memilih sama ada memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan hamba (sekiranya ada). Allah SWT berfirman melalui surah al-Maidah ayat ke 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.

3) Jika keinginan tersebut benar dikabulkan, sebagai hamba Allah SWT, membuat permohonan kepada Allah SWT samada dari segi pengampunan dosa, dilimpahi rezeki dan lain-lain lagi tiada batas hadnya kerana Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 153

message user image