BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya setiausaha surau Al-Ikhwaniah. Sejak lebih 3 tahun yg lalu terdapat 6 buah jam tangan yang milik jemaah yg dijumpai di tempat wuduk dan bilik air. Kami sudah iklankan tentang jam tersebut samada melaui notis atau dalam group jemaah. Sehingga sekarang tiada yang menuntut. Jam tersebut masih berfungsi dengan baik 

Soalan:

Bolehkah jam tersebut diberikan kepada anak kariah golongan miskin atau anak2 asnaf yang memerlukan?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, 6 buah jam tangan itu merupakan Harta Luqatah dan harus diberikan harta tersebut kepada golongan asnaf dan bagi yang memerlukan dengan memenuhi syarat-syarat perlaksanaan pengurusan dan pelupusan Harta Luqatah berdasarkan fatwa Selangor (Hukum Perlaksanaan Pengurusan Dan Pelupusan Harta Luqatah Yang Disimpan Oleh Majlis Agama Islam Selangor) yang telah diwartakan pada 31 Mac 2011. 

Perlaksanaan pengurusan dan pelupusan harta luqatah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut: 

(i) Setiap Harta Luqatah yang diterima hendaklah dilaksanakan proses hebahan selama satu tahun. Sekiranya telah tamat tempoh selama satu tahun, maka bolehlah melupuskan Harta Luqatah tersebut secara lelongan dan hasil dari lelongan itu dimasukkan ke dalam Baitulmal;

(ii) Harta Luqatah yang tidak mendatangkan manfaat hendaklah disimpan di tempat yang selamat;

(iii)Sekiranya Harta Luqatah tersebut sama ada masih kekal atau telah dilelong atau telah dicairkan, pemiliknya berhak menuntut walau pun telah tamat tempoh hebahannya. Pihak Majlis Agama Islam Selangor hendaklah memulangkan semula sekiranya harta tersebut masih ada atau nilai barang (mengikut nilai semasa) jika telah dilelong atau dicairkan;

(iv)Pemungut atau pemegang amanah Harta Luqatah harus mengenakan caj perkhidmatan yang munasabah kepada pemilik Harta Luqatah tersebut sekiranya pemilik hadir untuk memungut harta;

(v) Harta Luqatah tersebut harus diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. Adalah menjadi kewajipan menyerah kepada Baitulmal apabila tiada individu atau agensi yang sanggup menjadi pemegang amanah; dan

(vi)Harta Luqatah tersebut menjadi milik sepenuhnya kepada pemegang amanah atau pemungut untuk manfaatkan kepada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada kemaslahatan kepada umat Islam.

Merujuk kepada fatwa tersebut, pihak masjid atau surau boleh bertindak sebagai pemegang amanah dalam pengurusan harta luqatah dengan mengikut tatacara yang dinyatakan di dalam fatwa.

Seandainya pihak masjid ingin memanfaatkan jam tersebut, adalah disarankan agar ia dimanfaatkan kepada umum seperti dijual dan hasilnya digunakan untuk kemaslahatan serta kebajikan umat Islam. Sekurang-kurangnya, pemilik asal barang tersebut akan turut sama mendapat manfaat bersedekah di jalan Allah. Namun sekiranya pemilik asal menuntut selepas daripada itu, pihak masjid tetap perlu membayar nilai jam tersebut kepadanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 231

message user image