Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Suami saya meninggal dunia..syarikat arwah beri pampasan insurans konvensional pada saya dan 4 orang anak, saya tidak bekerja, ingin pencerahan hukum atas wang tersebut, boleh ke saya gunakan wang tersebut untuk menyara anak-anak dan membayar hutang-hutang arwah?
Terima kasih..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi seperti berikut :
1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.
2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.
4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah Kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (3) di atas.
Rujukan link fatwa : http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/3
Justeru, seandainya puan serta anak-anak tergolong dalam kategori orang miskin, maka bolehlah mengambil pampasan tersebut sekadar keperluan dengan membuat anggaran tempoh sehingga puan dan anak-anak dapat keluar dari kelompok kemiskinan. Walaupun wang tersebut terkumpul dalam simpanan puan, puan dan anak-anak hanya boleh menggunakannya untuk keperluan asas sahaja dan tidak berlebih-lebihan.Pampasan tersebut juga boleh digunakan untuk membayar hutang-hutang suami.
والله أعلم بالصواب