BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Berikut ada beberapa soalan yang ingin saya tanyakan:

1) Adakah air percikan daripada basuhan najis (qubul atau dubur) tu dikira air najis? Air mutlak yg didatangi pada tempat keluarnya najis terpercik ke tempat lain seperti di badan, pakaian dan lain-lain juga sukar untuk disucikan. Kadang kadang tidak pasti, air apa yang terpercik dan dimana kerana sukar untuk dilihat dan juga hanya dapat dirasai sahaja ketika melakukan basuhan.

2) Semasa selesai membuang air kecil. Sedang untuk menyucikan menggunakan air paip iaitu air mutlak. Secara tak sengaja air paip terlalu kuat sehingga air yang didatangi ke atas tempat keluar najis menyebar merata sekeliling badan dan pakaian. Sukar untuk disucikan disebabkan ia merata merata. Dan adakah ia dimaafkan?

3) Apakah cara yang terbaik untuk menyucikan diri dari air kencing dan najis pada tubuh badan sendiri?

4) Bagaimana untuk mengelakkan dari rasa was was najis itu di merata rata tempat. Adakah tempat itu dikira najis apabila yakin adanya najis ? Kalau rasa-rasa, ragu-ragu, agak-agak, tak pasti, tak yakin kita perlu anggap tempat tu suci daripada najis.

5) Saya tinggal dekat kawasan apartment. Kadang kadang seat moto saya basah dan saya tak pasti sama ada air tu air hujan, atau pun air titisan aircond atau lain lain. Adakah kita perlu anggap ia adalah air yang suci? Walaupun ia dtg dari tingkat atas?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Merujuk kepada persoalan tuan, :

1) Sekiranya diyakini percikan air itu mengandungi najis, maka ia adalah air mutanajjis. Badan atau baju yang terkena percikan air tersebut perlu dibasuh atau disucikan. Walau bagaimanapun, sekiranya air percikan itu tidak mengandungi najis atau diragui, maka air percikan itu bukan najis. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji :

“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.” 

2) Keadaan yang sama seperti di atas, seandainya lantai itu diyakini terdapat air kencing maka air yang terpercik darinya adalah najis. Akan tetapi sekira diragui, maka percikan air tersebut bukan najis iaitu ianya suci. 

3) Cara yang terbaik untuk menyucikan diri dari air kencing dan najis pada tubuh badan sendiri adalah dengan mengalirkan air mutlak atau air paip ke tempat yang terkena najis sehingga hilang ain, warna dan rasa najis tersebut.

4) Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah fiqh yang menyatakan:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya : Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak terdapatnya najis.   

5) Dalam hal ini juga ianya kembali kepada kaedah fiqh yang menyatakan:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya : Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.

Oleh itu, jika tidak dapat diyakini bahawa air yang membasahi seat motor itu adalah najis samada melalui ain, warna dan rasanya, maka seat motor tersebut kekal suci daripada najis. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 817

message user image