BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/admin,

Saya ada satu kemusykilan yang nak minta Ustaz ulas, berkenaan seorang wanita bernama Masitah Ab Jalar  yang menyatakan dia termimpi tanda2 Imam Mahdi muncul dah makin hampir.
Dalam mimpi wanita tu, ada beberapa ramalan yg dia buat dan ramalan terakhir ialah Sabah akan dibom oleh pihak tertentu. Lepas peristiwa tu berlaku, wanita tersebut menyeru semua rakyat Malaysia untuk mula bergerak mencari imam Mahdi. Sekarang dia dah minta semua org buat persiapan untuk bergerak sejurus ramalan terakhir tu terjadi (kemungkinan dalam masa terdekat).

Soalan saya ustaz:
1) Apakah hukum mimpi wanita tersebut?
2) Adakah Harus untuk kita ikut seruan wanita tersebut?

Mohon pandangan ustaz berikutan penelitian saya individu ini mula membuat kumpulan untuk kepercayaan tersebut dan amat membimbangkan jika ia adalah tidak selaras dengan peganggan ahli sunnah wal jamaah dan melibatkan peganggan akidah jua

Link untuk mimpi beliau boleh dirujuk di bawah (total 17 episod)

https://www.youtube.com/watch?v=9RvJXRkDQpM&t=3s

https://www.youtube.com/watch?v=eXtIVO1-d6k

https://www.youtube.com/watch?v=h0K14pAu44E

https://www.youtube.com/watch?v=SaNio_Dtxmc

https://www.youtube.com/watch?v=qG1JayVjCYY


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan berkaitan mimpi oleh Masitah Ab Jalar dengan mendakwa bermimpi tentang  Imam Mahdi yang makin hampir serta kejadian-kejadian yang akan berlaku pada masa akan datang. Perlu ditegaskan mimpi ini tidak boleh sama sekali  dijadikan ikutan bahkan kepercayaan dan ianya bertentangan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini kerana, hanya mimpi para Nabi dan Rasul sahaja yang boleh dijadikan sumber hukum serta  hujah syarak.

Secara realitinya, manusia tidak mengetahui perkara-perkara ghaib yang berlaku pada masa hadapan. Hanya Allah SWT sahajalah Yang Maha Mengetahui. Firman Allah SWT dalam surah at-Taha ayat 110:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِهِ عِلْماً

Bermaksud; “Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi”. 

Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Luqman ayat 34 :

 وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Bermaksud; "Dan tiada seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya".

Sebagai rujukan, Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 juga memutuskan bahawa jika terdapat mana-mana pihak yang mendakwa Imam Mahdi, ianya adalah termasuk dalam  ciri-ciri ajaran sesat  yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. 

Berdasarkan kepada pernyataan ini, adalah haram untuk kita mempercayai dan mengakui dakwaan wanita tersebut dan wajib meninggalkannya. 

Justeru, jika tuan ingin mendapatkan penjelasan berkenaan aliran tersebut, bolehlah mengemukakan perkara ini terus ke Unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk siasatan dan tindakan lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 202

message user image