Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya akan membeli sebuah rumah 2 tingkat.Penghuni sekarang adalah keluarga beragama hindu dan ada memelihara anjing di dalam rumah (bebas bergerak di dalam rumah).
Adakah saya perlu sertu keseluruhan rumah apabila menjadi hak milik nanti?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Kita tidak sepatutnya mengandaikan perkara yang tidak nampak. Walaupun diketahui secara amnya penghuni rumah yang akan dibeli sebelum ini adalah bukan Islam dan membela anjing. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah usul fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Rasulullah SAW pernah bersabda:
فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِيْنَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيْبَةٌ.
Maksudnya: “Kerana sesungguhnya kebenaran adalah ketenteraman dan dusta adalah keraguan.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Dari Abu Muhammad al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya RA, dia berkata: “Aku telah hafal dari Rasulullah SAW, sabdanya;
دَعْ مَا يُرِيبُك إلَى مَا لَا يُرِيبُك
Maksudnya: ‘Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu’.” (Riwayat at-Tirmidzi dan al-Nasa’i.)
Oleh itu, tidak perlu disertu rumah tersebut selagi tiada bukti keseluruhan rumah itu terkena najis mughallazah. Islam tidak memberatkan atau menyulitkan masalah sehingga perlu berbuat demikian. Jika jelas terbukti tempat tertentu terkena najis mughallazah, seperti terdapat ain najis atau melihat sendiri anjing menjilat tempat tertentu, maka hanya tempat tersebut yang perlu disertu selepas dihilangkan ain najis tersebut. Manakala kawasan yang lain memadai dengan membasuh seperti biasa.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.